Guna alat ganti terpakai punca lori dan bas gagal ujian brek Puspakom

219

Penggunaan alat ganti tidak bermutu tinggi pada kenderaan perdagangan dan perkhidmatan awam seperti lori dan bas menjadi punca kegagalan pemeriksaan brek oleh Puspakom.

Dalam tempoh pemeriksaan berkala setiap enam bulan yang wajib dijalani turut mendapati ada kenderaan tersebut yang gagal sebanyak tiga kali. 



Ia didedahkan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Perlis, Fatimah Mohamed Ali Piah yang bimbang dengan situasi berkenaan yang berlaku di Perlis sepanjang 2023, apabila 50 kenderaan komersial didapati gagal ujian brek di Puspakom negeri itu.

“Berdasarkan data yang kita peroleh, sepanjang tahun ini bermula Januari lalu, sebanyak 50 kenderaan komersil didapati gagal ujian brek Puspakom.

“Kita memandang serius terhadap situasi kegagalan brek ini kerana ia boleh menjadi punca kemalangan terutama kemalangan maut di negara ini.

“Kegagalan dalam ujian brek ini menyebabkan kenderaan ini dilarang untuk berada di atas jalan raya sehingga perlu mengulangi ujian brek serta wajib untuk lulus ujian dan jika diteliti, kebanyakan kemalangan melibatkan lori, treler atau bas disebabkan kegagalan brek berfungsi dengan baik.

“Kenderaan berat atau barangan atau perkhidmatan awam lazimnya seperti bas melibatkan orang ramai seperti penumpang yang dibawa manakala kenderaan barangan ini pula, sekiranya melanggar orang lain juga boleh mengakibatkan keadaan yang teruk,” katanya.

Kegagalan brek ketika pemeriksaan berpunca daripada penggunaan alat ganti yang tidak bermutu tinggi sehingga menyebabkan berlakunya pengabaian dari segi keselamatan jalan raya.

Pemilik atau pemandu kenderaan banyak menggunakan alat ganti yang tidak bermutu tinggi dan sekiranya had umur kenderaan melebihi 10 tahun boleh menyebabkan pelbagai kegagalan sistem brek berlaku.

“Malah, saya difahamkan ada juga sistem brek yang digunakan ini adalah dari jenis ‘recon’ dan ada yang dibeli secara dalam talian (online) menerusi platform pembelian dalam talian menyebabkan kualitinya kurang bermutu.

“Kita sudah pun menjalankan advokasi keselamatan jalan raya terhadap syarikat kenderaan barangan supaya mereka memahami situas yang berlaku ini dan sepatutnya menerusi pemeriksaan berkala setiap enam bulan ini, kegagalan dalam ujian brek tidak harus berlaku,” katanya.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here