Utama Berita Automotif Sasar tambah baik kualiti pengeluaran, Proton selesai 1,005 isu kualiti pasaran sepanjang...

Sasar tambah baik kualiti pengeluaran, Proton selesai 1,005 isu kualiti pasaran sepanjang 5-tahun

125
Proton akan mempertingkatkan kualiti pengeluaran kenderaan melalui pengurangan peratusan markah Audit Produk Pelanggan Global (GCPA).
 
Menerusi taklimat media yang dianjurkan di Proton Tanjong Malim, syarikat berkenaan berkongsi pencapaian yang diperoleh hasil usaha yang dijalankan menerusi GCPA.
 

GCPA dijalankan di dua kemudahan iaitu Tanjong Malim yang melibatkan pemasangan enam model (Iriz, Persona, X50, X70, X90 dan S70) dengan volum 8,000 unit sebulan serta kilang Shah Alam yang mengeluarkan Proton Saga dengan volum 6,000 sebulan.

KEUTAMAAN EMPAT BIDANG KUALITI

Bagi mencapai kepuasan pelanggan #1, Proton memfokuskan empat bidang kualiti iaitu kejuruteraan dan projek, pembekal, pengeluaran dan pasaran dalam tempoh lima tahun berterusan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata aspek kualiti pasaran menunjukkan peningkatan sebanyak 44 peratus bagi tempoh lima tahun (2019-2023).
 
“Dalam tempoh berkenaan sebanyak 1,005 isu diselesaikan.
 
“Sebagai pengeluar kami tawarkan waranti yang mana saluran aduan boleh dilakukan secara e-mail mahupun talian Proton Care. Aabila ada isu yang dihadapi pelanggan kami akan selesaikan. 
 
“Cuma situasi sekarang dengan evolusi media sosial, pelanggan mengharapkan respons pantas selepas aduan di khidmat pelanggan. Sedangkan ia tempoh 24 jam hari bekerja, lalu mereka akan menggunakan saluran komuniti ataupun grup facebook.
 
“Inilah cabaran kami yang mana perlu diutamakan kerana terlalu banyak saluran. Jadi kami bangunkan pasukan untuk memantau, kumpul maklumat dan selesaikan masalah. Ini tindakan agresif untuk selesaikan masalah bagi berikan jaminan kepada pelanggan,” katanya pada taklimat tersebut, Khamis. 

FOKUS SENTIMEN NEGATIF

Tambah Roslan, Proton juga akan memfokuskan pada maklum balas dan sentimen negatif di pasaran.
 
“Kami akan bertindak pantas dengan kenalpasti masalah di laman sosial dan meminta khidmat pelanggan menghubungi pelanggan yang terkesan,” jelasnya. 
 
Proton juga menjalankan usaha berterusan bagi memastikan penambahbaikan kualiti servis, kualiti korporat sehingga selepas jualan serta kualiti dari dalam kilang. 
 
Justeru itu, terdapat pengurangan sebanyak 55 peratus dalam skor audit GCPA yang menunjukkan peningkatan keseluruhan dalam kualiti pengeluaran.
 

Proton akan menjalankan penilaian komprehensif kenderaan, 1 peratus daripada kenderaan lulus harian yang akan dipilih untuk penilaian.



“Ada juga impak GCPA, sebab apabila orang tengok sesuatu produk ada kualiti, mereka ada keyakinan untuk membeli kenderaan. 

 
“GCPA ada beri kesan dan menyumbang kepada jualan kereta. Ia akan menambah keyakinan orang ramai untuk membeli kenderaan Proton jika tahu kebarangkalian rosak itu kurang,” katanya.
 
Selain itu, kualiti pembekal menunjukkan penambahbaikan 43 peratus sehingga tahun lalu.
 
Proses pengurusan kualiti pembekal piawaian global, yang mana keupayaan pembekal terus dipertingkatkan untuk menghasilkan produk yang lebih berkualiti, selamat dan boleh dipercayai serta mencapai kriteria ditetapkan Proton.
 

Antaranya melibatkan pembangunan kualiti produk termaju, proses kelulusan bahagian pengeluaran dan peningkatan keupayaan pembekal.

 

 
 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here