Pembekal Proton bergelut masalah kewangan, syarikat dapatkan alat ganti dari China

2555

Lebih 100 pembekal dan vendor alat ganti yang bergabung dengan Proton Holdings Bhd menghadapi tekanan kewangan yang teruk akibat perbelanjaan operasi yang kian meningkat, kata Presiden Dewan Perniagaan Besar Fujian Malaysia, Datuk Liu Guoquan.

Dalam satu kenyataan, Liu Guoquan berkata rayuan mereka tidak diendahkan walaupun Persatuan Vendor Proton (PVA) menghubungi pengeluar kereta nasional itu bagi menangani cabaran yang dihadapi. 



Beliau menekankan banyak pembekal dan vendor sedang bergelut dengan masalah kewangan susulan tempahan yang semakin berkurangan sejak kebelakangan ini, membawa kepada persekitaran perniagaan yang tidak mampan.

Bimbang akan kemungkinan kesan yang bakal berlaku, Liu menyatakan jika keadaan berterusan boleh membawa kepada kegagalan pembekal yang ramai, menjejaskan kira-kira 50,000 pekerja di seluruh rantaian industri automotif.

Beliau mengaitkan punca utama adalah kegagalan Proton untuk memenuhi kuantiti tempahan alat ganti dijanjikan bagi model X series yang mengakibatkan pengurangan signifikan dalam output pengeluaran sebanyak 30 hingga 50 peratus.

Akibatnya, banyak vendor mengalami kerugian kewangan, memaksa sebahagiannya menghentikan operasi sama sekali.

Sementara itu, Liu berkata kesukaran tersebut bukan sahaja menjejaskan keupayaan pengeluaran pembekal tetapi juga menghalang pelaburan modal, rancangan pengembangan dan strategi sumber manusia.

Beliau menegaskan walaupun mengalami kerugian besar, Proton tidak menunjukkan kesanggupan untuk menangani isu itu.

IMPORT ALAT GANTI CKD DARI CHINA

Selain itu, beliau mengkritik keputusan Proton mengimport alat ganti pemasangan tempatan (CKD) harga kompetitif dari China, memetik keengganan pembekal Malaysia mengurangkan harga sebagai rasional di sebalik langkah ini.

Tindakan sedemikian, menurut Liu mengeruhkan lagi hubungan Proton dan persatuan vendor.

Liu menekankan lonjakan bil elektrik dan pengumuman kerajaan kenaikan gaji minimum RM1,500 mulai 1 Julai tahun lalu memburukkan lagi masalah kewangan pembekal.

Sementara itu, pembekal tanpa nama mendedahkan walaupun kontrak asal daripada Proton berjanji membekalkan alat ganti 1,500 unit sebulan bagi Proton X90 tetapi volum tempahan sebenar hanya antara 200 dan 300 unit setiap bulan.

Jumlah pesanan ini mengakibatkan kerugian kewangan bagi vendor yang dibebani dengan perbelanjaan yang berkaitan dengan jentera pengeluaran, tenaga kerja dan kos lain.

Akhbar NST dikatakan sudah menghubungi Proton untuk mendapatkan maklum balas. Difahamkan, pihak syarikat sedang bersiap sedia mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here