Kes langgar pelajar SPM, pegawai kanan polis mengaku tidak bersalah

495

Pegawai kanan polis DSP Mohd Nazri Abdul Razak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Ipoh atas pertuduhan membunuh seorang pelajar tingkatan lima dalam kejadian langgar berhampiran sebuah sekolah tahun lalu.

Mohd Nazri, 46 didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17 di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati Ipoh antara 12.05 tengah hari dan 12.40 tengah hari, 15 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan.



Hakim Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet menetapkan perbicaraan kes selama 30 hari bermula 4 November hingga 17 januari tahun depan dan 1 Julai ditetapkan sebutan smeula kes bagi serahan dokumen.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz memohon tempoh sebulan bagi serahan dokumen dan memaklumkan pihaknya akan memanggil 60 saksi termasuk pakar.

“Pihak kami perlu masa bagi muktamadkan senarai saksi dan dokumen untuk diserahkan kepada peguam. Kita perlu teliti dokumen sebab kes ini melibatkan 60 saksi dan pakar,” katanya.

Peguam Jacky Loi Yap Loong yang dibantu Lim Chi Chau dan M.Kuhan memaklumkan pihaknya memfailkan notis berhubung permohonan jaminan terhadap anak guamnnya.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memaklumkan pihaknya tidak menerima afidavit berhubung notis tersebut.

Hakim mengarahkan kedua-dua pihak menyelesaikan pertukaran adifavit sebelum beliau membuat keputusan berhubung permohonan jaminan.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here