KPDN rampas 153 cermin depan disyaki tiruan bernilai RM140,200

121

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas 153 cermin depan kenderaan disyaki tiruan menerusi serbuan empat premis di Petaling Jaya dan Kepong pada 9 Mei lalu.

Kesemua cermin berkenaan bersama beberapa dokumen perniagaan lain disita bagi tujuan siasatan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM140,200.



Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata serbuan dijalankan di tiga buah premis di Petaling Jaya dan sebuah lagi premis di Kepong, Kuala Lumpur.

“Operasi sepasukan anggota penguatkuasa KPDN Putrajaya, KPDN Selangor dan KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu adalah hasil aduan yang diterima daripada wakil pemilik cap dagangan berdaftar yang berkaitan serta risikan awal.

“Pihak berkuasa menahan dua lelaki warga tempatan yang mengaku bertanggungjawab ke atas premis, berumur 20 tahun dan 31 tahun untuk membantu siasatan,” katanya melalui kenyataan media.

Jika didapati bersalah, denda akan dikenakan tidak lebih RM15,000 bagi setiap barang yang digunakan dengan salah cap dagangan berdaftar itu.

Manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM30,000 setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar.

Jika individu itu bukan satu pertubuhan perbadanan, denda boleh dikenakan tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

KPDN memberikan peringatan dan amaran kepada mana-mana pihak agar tidak melakukan aktiviti menjual barangan yang tidak mendapat kelulusan atau kebenaran pemilik cap dagangan berdaftar yang sah, terutamanya barangan alat ganti kenderaan.

“Pengguna juga dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati terutamanya apabila membeli alat ganti kenderaan selain tidak menyokong aktiviti penjualan barangan tiruan kerana dikhuatiri boleh mengakibatkan kerugian dan mengancam keselamatan pengguna itu sendiri,” katanya. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here