Utama Berita Automotif Kanak-kanak maut terperosok bawah lori, pemandu ditahan positif dadah

Kanak-kanak maut terperosok bawah lori, pemandu ditahan positif dadah

231
Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut, manakala bapa saudaranya parah setelah motosikal dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Chandek Kura, Langkawi, semalam. 
 
Dalam kejadian jam 5.16 petang itu, Muhammad Wassim Dayyan Amyrul Amry disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Maliha (HSM) Langkawi.
 
Bapa saudara kanak-kanak itu yang berusia 25 tahun menerima rawatan di zon merah hospital sama akibat kecederaan di kepala dan badan.
 
Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, kemalangan dipercayai berlaku apabila lori dipandu lelaki berusia 51 tahun dari arah Jalan Batu Belah Batu Bertangkup hendak keluar simpang ke Jalan Chandek Kura.
 
“Kedua-dua mangsa yang menaiki Yamaha Y15Z dalam perjalanan dari Kuah ke arah Jalan Chandek Kura dipercayai telah melanggar belakang sebelah kanan lori tersebut lalu menyebabkan mereka terperosok di bawah lori itu,” katanya.
 
Shariman berkata, polis telah menahan pemandu lori dan hasil ujian air kencing mendapati pemandu positif dadah jenis tetra hydrocannibol (THC).
 
Pemandu lori itu ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah.


APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here