Audi SQ8 e-tron dan SQ8 Sportback e-tron lancar di Malaysia, harga bermula RM519K

178

PHS Automotive Malaysia (PHSAM) menambahkan dua model baharu ke dalam rangkaian kenderaan elektrik sepenuhnya iaitu Audi SQ8 e-tron dan SQ8 Sportback e-tron. 

Dua model berprestasi tinggi baharu di dalam rangkaian eletrik SUV dan crossover Audi Q8 e-tron itu ditawarkan

  • SQ8 e-tron: RM519,990
  • SQ8 Sportback e-tron: RM529,990

Rekaan yang agresif

Rekaan keseluruhan SQ8 dalam bentuk SUV dan Sportback memberi penekanan terhadap prestasi lebih baik, terima kasih kepada kemasan “S”. 



Rekaan bampar yang lebar kini lebih ekspresif, manakala panel arca roda dengan aliran udara telah dioptimumkan itu memberikan imej lebih maskular. 

Bahagian belakang diserlahkan dengan peresap udara aerodinamik dan lampu LED yang memberikan gayaan tersendiri pada waktu malam. 

Gril Singleframe yang menjadi signatur Audi (dengan lampu projektor) diserlahkan lagi dengan lampu utama jenis Digital Matrix LED. 

Unit-unit lampu yang canggih ini mempunyai sekitar 1.3 juta cermin mikro yang boleh disudutkan secara individu sehingga 5,000 kali sesaat. 

Bergantung kepada tetapan, lampu LED dan liputan cahaya sentiasa berubah untuk mengoptimumkan aspek pencahayaan dan mengambil kira keselesaan pengguna jalan raya yang lain. 

Cockpit

Kabin yang sporty dan mewah 

SQ8 e-tron mempunyai kabin seperti model-model mewah Audi yang lain. Bagi mengekalkan imej yang lebih sporty, tempat duduk hadapan dibalut dengan kulit Valcona bersama logo “S”. 

Kombinasi material kulit pada bahagian atas papan pemuka serta kemasan karbon dan aluminium di ruang bawahnya menyerlahkan imej mewah dan berteknologi tinggi. 

Ruang itu dipertingkatkan lagi dengan ciri Ambient Lighting Package plus serta lampu LED pada pintu hadapan dan belakang. 

Sistem kawalan suhu 4 zon memastikan agihan udara segar dan sejuk ke semua penjuru kabin. Sistem itu turut dilengkapi ionizer udara dengan ciri aromatik yang boleh diubah suai oleh penumpang bagi mendapatkan kualiti udara terbaik. 

Audi Virtual Cockpit kini lebih berorientasikan kepada pemandu apabila panel instrumen diintegrasikan dengan papan pemuka dan paparan yang kemas. Paparan Head-Up Display menjadi satu ciri standard untuk meningkatkan keselamatan ketika memandu. Selain dua paparan sentuh MMI yang diposisikan ke arah pemandu, terdapat juga butang operasi berwarna hitam berkilat dengan maklum balas haptik. 

Paparan antara muka telefon pintar membolehkan integrasi dengan kebanyakan peranti iOS dan Android, lengkap bersama Audi MMI untuk mengawal ciri-ciri seperti navigasi, muzik dan aplikasi-aplikasi terpilih. 

Audio sistem premium Bang & Olufsen dengan 3D membolehkan anda alami muzik seperti yang dirakam, dengan dimensi bunyi keliling. Sistem ini mempunyai satu unit amplifier yang efisen untuk memacu 16 unit pembesar suara berkapasiti 705 watts. 

Selain rekaan ruang yang progresif dan elegan, kabin SQ8 e-tron juga menunjukkan komitmen Audi ke atas aspek kelestarian apabila menggunakan banyak material mesra alam. Banyak komponen berkaitan keselamatan yang digunakan seperti pelindung plastik tali pinggang keledar dihasilkan daripada gabungan plastik buangan automotif.

Beza Dimensi

Pereka Audi adalah perintis dalam membentuk badan untuk kecekapan aerodinamik terbaik. Hasilnya, SQ8 e- tron mampu menurunkan tahap pekali seretan (Cd) di antara 0.24 dan 0.27 (bergantung kepada rekaan bentuk badan kenderaan). 

Dimensi model SQ8 e-tron serupa dengan Q8 e-tron, tetapi oleh kerana rekaan badan kereta dan estetik lebih berorientasikan kepada sporty, model-model SQ8 e-tron adalah 2mm lebih rendah dan 40mm lebih lebar. 

Tapak rodanya adalah sama iaitu 2,928mm yang menjanjikan keselasaan dalaman, terutamanya ruang kaki besar dan but yang luas. SQ8 e-tron menawarkan ruang penyimpanan barang sehingga 569 liter, manakala Sportback mempunyai ruang but seluas 528 liter. 

Ciri-ciri lain pada bahagian luaran ialah angkup brek berwarna merah, perumah cermin sisi gentian karbon, rel bumbung hitam dan kemasan hitam lain untuk pakej plus. 

Rim aloi Audi Sport lima jejari dengan gayaan ‘Interferenz’ bersaiz 22 inci berwarna kelabu (Titanium Gray) dan rekaan diamond-turned hadir sebagai ciri standard. 

Tiga unit motor elektrik 

SQ8 e-tron hadir dengan tiga unit motor tak segerak (asynchronous), dua unit dipasang pada gandar belakang untuk menggerakkan setiap roda secara berasingan. Ini menjadikannya model keluaran massa pertama Audi yang menggunakan tiga motor. 

  • Gandar hadapan dipacu oleh motor elektrik dengan kuasa puncak 124 kW
  • Pada gandar belakang pula, dua unit motor elektrik menjana kuasa 98kW secara berasingan. 

Dalam mode boost, motor hadapan menghasilkan kuasa mencecah 157 kW, manakala dua motor di belakang mampu menjana sehingga 138kW setiap satunya. 

Ini membolehkannya menjana kuasa mencecahi 433kW, tetapi output kuasa keseluruhan sistem tersebut dihadkan kepada 370kW menerusi pek bateri 114 kWh. 

Galeri Audi SQ8 e-tron

Fakta

  • 0 ke 100km/j dalam masa 4.5 saat
  • Pecutan maksimum 210km/j

Memandangkan dua unit motor pada gandar belakang tidak bersambung dan menggerakkan setiap roda secara berasingan, jadi kuasa tork yang tepat dan pelbagai boleh disalurkan kepada roda-roda berkenaan. 

Apabila dipandu secara santai, hanya sejumlah kecil kuasa akan digunakan. Motor elektrik di bahagian belakang lebih banyak digunakan untuk memandu kenderaan dalam kondisi harian biasa. 

Apabila lebih banyak kuasa diperlukan, kuasa tork disalurkan ke kedua-dua gandar, maka SQ8 e-tron boleh menawarkan karakteristik quattro lagenda, dipertingkatkan oleh vektor tork elektrik. 

Pengecasan yang pantas dan efisien 

Sistem elektrikal yang canggih pada SQ8 e-tron boleh mengendali bekalan pengecasan sehingga 170 kW di poin pengecasan DC untuk tempoh pengecasan yang lebih singkat. 

Tempoh pengecas

  • Pengecas pantas DC: 31 minit daripada 10% ke 80% (SoC). 
  • Pengecasan AC: 9.15 jam hingga 11.30 jam

Jarak pemanduan

  • Jarak WLTP: 471km untuk SQ8 e-tron Sportback
  • Jarak WLTP: 458km  SQ8 e-tron

Dalam 90 peratus dalam semua situasi membrek, SQ8 e-tron tidak akan menggunakan brek cakeranya. Sebaliknya, dengan konsep penjanaan semula pintar, sistem SQ8 e-tron pulih kembali melalui motor elektrik sahaja, tanpa memerlukan brek konvensional yang berfungsi sebagai generator, menukar tenaga kinetik kepada tenaga elektrik yang kemudian disimpan dalam bateri. 

Galeri Audi SQ8 Sportback e-tron

Platform MEB Evo 

Platform chasis elektronik MEB Evo pada SQ8 e-tron mempunyai suspensi udara adaptif sport dengan kawalan redaman untuk roda depan dan belakang. Berupaya mengadaptasi kondisi jalan yang berbeza dengan tepat secara berterusan, aspek keselesaan dan kestabilan dapat dikekalkan sepanjang masa. 

Ketinggian juga melarasa secara automatik sehingga lebih 76mm

  • Lebuh raya: Direndahkan sebanyak 26mm
  • Mode Offroad): Jarak kelegaan tanah ditingkatkan dari 35mm kepada 50mm

Walaupun ia sebuah SUV, SQ8 e-tron mempunyai titik graviti yang rendah setanding dengan sedan. Aspek ini dibantu oleh kedudukan sistem bateri yang diletakkan di lantai di antara gandar, ia juga membuatkan agihan berat gandar hampir optimum iaitu 50:50.

Selari dengan falsafah jenama, badan SQ8 e-tron dibina daripada gabungan besi/aluminium yang mengimbangi berat kenderaan elektrik bersaiz sebegini bersama pek bateri berkuasa tinggi.

Malah, pek bateri dan badan itu membentuk satu struktur hibrid yang 45 peratus lebih kukuh berbanding SUV dengan enjin pembakaran dalaman. Binaan ini kemudian menawarkan kualiti pengendalian lebih baik dan senyap. 

Ciri Keselamatan

SQ8 e-tron memiliki rangkaian sistem keselamatan pasif dan aktif yang merangkumi kawalan jelajah adaptif, amaran penukaran lorong, bantuan membelok dan melencong, serta bantuan lintasan trafik depan dan belakang. 

Ciri keselamatan standard yang lain termasuk sistem beg udara SRS di sisi dan belakang, pakej keselamatan kanak-kanak dengan cagak tempat duduk ISOFIX, top tether dan sistem pemantauan tekanan tayar. Bagi memudahkan urusan parkir, SQ8 e-tron dilengkapi pakej Park Assist bersama ciri park assist plus yang membantu mengesan ruang parkir yang kosong, kemudian memarkir kenderaan tanpa memerlukan input stereng daripada pemandu. 

Pilihan warna dan jaminan 

SQ8 e-tron didatangkan dalam pilihan warna:

  • Kelabu (Magnet Gray)
  • Biru (Ultra Blue)
  • Kelabu (Chronos Gray)
  • Hitam (Mythos Black)
  • Biru (Plasma Blue)
  • Kelabu (Daytona Gray)
  • Putih (Glacier White)

Kedua-dua varian SQ8 e-tron boleh dibeli bersama pilihan Audi Assurance Package (AAP) yang menawarkan jaminan lanjutan kenderaan sehingga 5 tahun dengan penyelenggaraan berjadual secara percuma untuk 3 tahun pertama dan bantuan tepi jalan percuma bagi 5 tahun pertama.

Sistem bateri pula dilindungi secara berasingan menerusi jaminan selama 8 tahun atau perbatuan sejauh 160,000 km. Semua jaminan ini tertakluk kepada terma dan syarat. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here