Mayat bersama Honda RS150 dipercayai milik buruh hilang 10 hari lalu

431

Motosikal dan serpihan tulang manusia yang ditemui di selekoh Jalan Sungai Lalang-Bukit Selambau, petang semalam dipercayai milik seorang buruh yang dilaporkan hilang sejak 10 hari lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, Pejabat Pertanyaan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala menerima maklumat berhubung penemuan mayat bersama Honda RS150 dalam saluran air di selekoh Jalan Sungai Lalang-Bukit Selambau pada 7.30 malam.

Beliau berkata, arah perjalanan mangsa adalah dari arah Sungai Lalang menghala ke Bukit Selambau.



“Berdasarkan lawatan di tempat kejadian, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal tersebut melalui selekoh dan hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam saliran air sebelah kanan jalan.

“Kedalaman saliran air itu adalah hampir tiga meter menyebabkan mangsa sukar dilihat serta sukar mendapat bantuan sewaktu kejadian,” katanya.

Zaidy berkata, terdapat garisan pada bahu jalan sebelah kanan dipercayai terhasil dari penunggang motosikal itu.

Hasil soal siasat bersama waris mendapati kali terakhir mangsa yang berusia 42 tahun itu dilihat pada 9 Januari lalu dan mengesahkan motosikal yang ditemui adalah milik mangsa.

Mayat kemudian dibawa ke Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat bagi mendapatkan punca kematian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here