Seludup Porsche Panamera, pemilik selimut kereta dengan kain takut dirampas

257

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka memburu pemilik sebuah Porsche Panamera yang disyaki menyeludup masuk kenderaan itu ke negara ini.

Pengarahnya, Nadzri Che Ani berkata, kereta mewah yang dianggarkan berharga lebih RM100,000 itu dibawa masuk ke Malaysia dari negara jiran tanpa membayar cukai berjumlah RM186,000.

Menerusi operasi khas pada 18 Januari lalu, anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Melaka mematahkan penyeludupan ‘kereta kayangan’ itu di sebuah kediaman di Jasin.



Katanya, bertindak hasil risikan, pasukan itu berjaya mengesan kereta terbabit yang disembunyikan di kediaman terbabit.

“Kereta tanpa nombor pendaftaran itu ditutup sepenuhnya dengan sehelai kain dipercayai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Kereta itu kemudiannya disita dan siasatan sedang dijalankan bagi mengesan pemilik kediaman dan kenderaan tersebut,” katanya.

Susulan rampasan itu, kereta berkenaan diklasifikasikan sebagai dagangan larangan di bawah Butiran 3, Jadual Kedua/Bahagian 1, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali nilai barang atau RM50,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here