Universal Hydrogen berjaya uji sel bahan api megawatt guna hidrogen

95

Sebuah syarikat Amerika, Universal Hydrogen berjaya menguji sel bahan api 1 megawatt (MW) yang dikuasakan hidrogen cecair.

Ujian yang dijalankan di Pelabuhan Udara dan Angkasa Mojave di California tersebut merupakan percubaan terbesar seumpamanya bagi sistem pesawat berkuasa hidrogen cecair.



Banyak syarikat sedang berusaha menjadikan penerbangan lebih mesra alam sekitar dengan membangunkan penerbangan berkuasa elektrik menggunakan bateri.

Namun, ketumpatan tenaga yang lebih rendah dan bateri lebih berat menjadikannya tidak sesuai untuk penerbangan jarak jauh.

Sel bahan api hidrogen pula berpotensi menjadi penyelesaian bagi laluan jarak dekat sekaligus menawarkan alternatif bebas karbon bagi bahan api tradisional.

CIPTA SEJARAH PENERBANGAN KUASA HIDROGEN

Gambar hiasan, Pesawat Dash-8

Tahun lalu, buat pertama kalinya Universal Hydrogen mencipta sejarah menerbangkan pesawat kuasa hidrogen dengan kapasiti 40 tempat duduk. 

Pesawat Dash-8 yang diubahsuai itu dinamakan Lightning McClean. Ia terbang selama 15 minit pada ketinggian 3,500 kaki dan syarikat tersebut percaya penerbangan boleh ditingkatkan hingga 740km menggunakan teknologi berkenaan. 

Bagaimanapun, syarikat itu mengakui keterbatasan apabila menggunakan hidrogen. Sebanyak 16 tempat duduk Dash-8 perlu dikorbankan berbanding 56 penumpang menggunakan bahan api fosil. 

Ini memberi kesan kepada syarikat penerbangan bagi mengimbangi keuntungan dengan kemampanan.

ENJIN TERKUAT DUNIA 

Pada Februari lalu, Universal Hydrogen melakukan ujian tanah bagi sistem hidrogen cecairnya di Pelabuhan Udara dan Angkasa Mojave.

Semasa ujian, modul hidrogen cecair dipasang pada Iron Bird, yang berfungsi sebagai model operasi sistem kuasa syarikat itu. Menurut laporan, ujian itu berjalan lancar selama 1 jam 40 minit tanpa sebarang masalah. 

Pada pandangan pertama, modul itu menyerupai bekas simpanan hidrogen cecair. Selain menyimpan sehingga 200kg hidrogen cecair, ia juga boleh menukarkannya kepada gas hidrogen seperti yang diperlukan untuk sistem kuasa.

Menurut siaran media yang dikeluarkan, ia dilengkapi sistem untuk menukar hidrogen cecair kriogenik kepada hidrogen gas panas yang digunakan oleh rangkaian kuasa.

Ia juga menggabungkan ciri-ciri seperti pengesanan kebocoran hidrogen dan sistem pengudaraan untuk operasi yang selamat, serta sistem sambungan cepat-kalis bocor membolehkan pemasangan modul yang mudah pada pesawat dan keluarkan sebaik sahaja kosong.

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here