Tentera Darat dijangka terima Black Hawk pertama bulan depan

420

Tentera Darat Malaysia (TDM) dijangka menerima penghantaran pertama helikopter Black Hawk April depan, kata Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Beliau berkata penghantaran peringkat pertama itu melibatkan sebuah daripada empat helikopter jenis Sikorsky UH-60A+ Black Hawk yang disewakan untuk kegunaan Pasukan Udara Tentera Darat.



Helikopter berkenaan sepatutnya diterima TDM November lalu, bagaimanapun susulan beberapa kekangan melibatkan kontraktor dan pengeluar helikopter itu menyebabkan berlaku sedikit kelewatan.

“Namun kontraktor telah memberikan janji mereka untuk menghantar helikopter pertama pada April ini dan saya harap ia dipenuhi,” katanya.

Ditanya mengenai faktor kelewatan itu, Muhammad Hafizuddeain berkata beliau enggan membuat sebarang spekulasi, namun menegaskan TDM amat memerlukan perkhidmatan helikopter berkenaan bagi tujuan latihan dan operasi.

Pada Mei tahun lalu, Kementerian Pertahanan menandatangani kontrak sewaan empat helikopter dengan syarikat tempatan Aerotree Defence & Services Sdn Bhd selama lima tahun bernilai RM187 juta.

TENTANG UH-60A BLACK HAWK

Helikopter UH-60A Black Hawk dilengkapi enjin T700-GE-701D turboshaft menawarkan peningkatan kuasa tanpa kos tambahan yang digelar sebagai UH-60A+. 

Ia menghasilkan kuasa 2,000shp dengan kapasiti tangki minyak 450 gelen serta boleh terbang sejauh 1,200 batu nautika. Bahkan, Black Hawk itu juga mampu terbang dengan satu enjin.

Model ‘A’ bagi helikopter Black Hawk berfungsi sebagai utiliti, serangan udara, medevac, arahan dan kawalan serta pemantauan.

Dengan kelajuan pelayaran 259kmj, UH-60A Black Hawk tersebut mampu membawa 11 askar dengan berat 108kg seorang dan tiga kru dengan berat keseluruhan 329kg.  

Black Hawk itu juga didatangkan dengan External Stores Support System (ESSS) iaitu dua ruang stor seperti sayap yang dipasang pada kerangka udara di atas bahagian pintu kargo. Setiap sayap ESSS itu didatangkan dengan dua tiang yang boleh ditanggalkan.

Ia boleh membawa sehingga 16 peluru berpandu Hellfire dan dilengkapkan dengan mesingan serta memuatkan satu tangki bahan api 230 gelen dan satu bahan api 450 gelen.

UH-60A dilengkapi dengan pintu gelongsor ke belakang dan boleh dikunci pada setiap sisi petak kargo. Cangkuk kargo luaran memiliki kapasiti mengangkut barang sehingga 3,630kg.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here