XPeng buka tempahan G6 di Thailand, masuk pasaran Malaysia suku ketiga tahun ini

88

XPeng Motors, syarikat kereta elektrik pintar asal China (Smart EV) mengumumkan kerjasama strategik jangka panjang di Thailand bersama Neo Mobility Asia Co. Ltd. iaitu usahasama antara Arun Plus Mobility Holdings Co. Ltd. dan MGC-Asia GreenTech Co. Ltd.

Kerjasama itu menandakan kemunculan XPeng di pasaran Asia Tenggara sekaligus pelancaran rasmi Xpeng di Pameran Motor Antarabangsa Bangkok ke-45 (BIMS).



“Memasuki pasaran baharu secara strategik dan menawarkan rangkaian model EV yang disesuaikan dengan keperluan pelanggan tempatan.

“Kami berhasrat untuk mengukuhkan kedudukan jenama sebagai pemain terkemuka dalam bidang pintar dan sektor EV pada skala global,” kata Naib Presiden Kewangan dan Pejabat Sokongan Strategik Luar Negara XPeng, James Wu.

XPENG G6 MASUK TIGA PASARAN NEGARA ASIA TENGGARA

Jenama itu akan menawarkan SUV G6 di Thailand, Singapura dan Malaysia yang mana penghantaran bermula suku ketiga tahun ini.

Pesaing kepada Tesla Model Y itu menggunakan platform SEPA 2.0 dengan dimensi panjang 4,753mm, lebar (1,920mm) dan tinggi (1,650mm) serta jarak roda 2,890mm.

Sementara itu, tempahan XPeng G6 dibuka di Thailand menerusi dua pilihan varian (Standard Range dan Long Range)  pada harga antara THB 1.5 juta hingga 1.8 juta (RM195k-RM234k).

Varian Standard Range dan Long Range dipadankan dengan motor elektrik di bahagian belakang menerusi output 292hp dan tork 440Nm dengan kelajuan maksimum 202kmj.

Manakala pecutan dari 0-100kmj dicapai dalam tempoh 6.6 saat (Standard Range) dan 5.9 saat (Long Range). 

Bagi bateri pula, Standard Range dilengkapi dengan litium iron fosfat 66kWh dengan jarak perbatuan 580km manakala Long Range dipadankan dengan bateri nikel kobalt mangan (NCM) dengan jarak perbatuan 755km. 

SUV coupe itu dipadankan dengan senibina 800V serta sokongan pengecasan pantas kapasiti maksimum 280kW. XPeng menyatakan pengecasan 10-80 peratus boleh dicapai dalam tempoh 20 minit.

Penampilan G6 diserlahkan menerusi emosi muka robot di bahagian depan dengan lampu nyala siang (DRL) tirus sepanjang hujung hud, cermin tingkap tanpa bingkai, lampu belakang LED starlight sword dan spoiler elektrik.  

Ia juga dilengkapi dengan ciri keselamatan ADAS antaranya lane departure warning, lane keeping assistance, lane emergency maintenance assistance, blind spot monitoring and early warning, lane change warning, door opening warning, forward distance tip, forward collision warning, automatic emergency braking dan lain-lain. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here