Guna jengkaut keluarkan wanita terperosok bawah MPV

229

Jengkaut terpaksa digunakan bagi mengeluarkan wanita warga emas yang terperosok di bawah MPV dalam kejadian di Jalan Utama Putera Indah, Tongkang Pechah, Batu Pahat, semalam.

Dalam kejadian 4 petang itu mangsa yang cedera parah itu dikeluarkan dari bawah kenderaan itu dengan bantuan jengkaut dan orang ramai sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, selepas lebih dua jam menerima rawatan, mangsa berusia 69 disahkan meninggal dunia akibat parah di kepala.



Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata kemalangan berlaku ketika Toyota Estima dipandu wanita berusia 33 tahun menghala ke Tongkang Pechah.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, tiba-tiba motosikal ditunggang mangsa keluar dari simpang.

“Akibatnya, pemandu Estima tidak sempat mengelak sehingga berlaku pertembungan dan mangsa terperosok di bawah MPV berkenaan.

“Mangsa yang parah kemudian dibawa ke HSNI untuk rawatan lanjut namun pada jam 6.30 petang, pihak hospital mengesahkan mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya. 

Siasatan awal mendapati mangsa seorang suri rumah dan menetap di Taman Bukit Perdana dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here