#LIMA2025 : Rusia pamer jet pejuang Su-57E generasi kelima

32

Agensi eksport/import produk, teknologi dan perkhidmatan pertahanan Rusia, Rosoboronexport JSC akan mempamerkan jet pejuang generasi kelima, Su-57E di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA 2025).

Syarikat itu turut mempamerkan pesawat IL-76MD-90A(E) yang berkemampuan mengangkut 60 tan kargo sejauh 4,000 km.

Pesawat pengangkut IL-76MD-90A(E)

Ia juga boleh digunakan untuk mengangkut kakitangan dan peralatan ketenteraan, menurunkan tentera dan kargo serta boleh diubahsuai dengan pantas menjadi versi pemadam kebakaran dan hospital tentera.

Pesawat ini dijangka menarik minat bukan sahaja wakil Tentera Udara Diraja Malaysia, tetapi juga negara-negara lain di Asia Tenggara.

“Kelebihan utamanya berbanding beberapa pesaingnya adalah berjaya dalam operasi tempur di konflik bersenjata sebenar, menggunakan senjata serangan udara canggih, pertahanan udara, dan aset peperangan elektronik (EW) oleh musuh,” menurut kenyataan media Rosboronexport.

Su-57E TAWAR JARAK PENERBANGAN 2,800KM

Laman web rasmi Rosboronexport menyatakan jet pejuang pelbagai peranan Su-57E itu direka untuk melaksanakan pelbagai tugasan tempur.

Ia berupaya bertindak terhadap sasaran udara dan darat pada waktu siang atau malam, menggunakan persenjataan berpandu dan tidak berpandu yang terkini.

Jet pejuang ini dilengkapi dengan Avionik Bersepadu AI, persenjataan, dan kompleks pertahanan diri tercanggih selain radar N036 Byelka Active Electronically Scanned Array (AESA). 

Sokongan pintar lanjutan dan tahap automasi yang tinggi memastikan juruterbang dapat mengendalikan pesawat dengan berkesan dan melaksanakan keseluruhan tugasan tempur hanya dengan seorang juruterbang.

Pesawat tempur seberat 34 tan itu menawarkan jarak penerbangan sejauh 2,800km dengan kelajuan maksimum 2.0 mach.

Manakala radius pertempuran pula adalah 1,250 meter dengan berat bebanan maksimum 7,500kg.

Walaupun menjadi subjek perdebatan pada masa lalu, Su-57E didakwa memiliki keupayaan halimunan yang signifikan untuk mengurangkan jejak radar dan membolehkan penembusan ke ruang udara musuh dengan pengesanan minimum. 

Ia menggunakan dua enjin Saturn AL-41F1 turbofan yang direka untuk memberikan tujahan yang tinggi dan salah satu ciri pesawat generasi ke-5 ini membolehkan ia mencapai kelajuan supersonik tanpa menggunakan afterburner secara berterusan (dikenali sebagai supercruise).

Bahkan, Su-57 berupaya melakukan manuver yang sangat lincah di udara dan melakukan gerakan aerobatik yang kompleks dengan bantuan thrust vectoring (kawalan tujahan). 

Namun begitu, terdapat perancangan untuk menaik taraf Su-57 (termasuk varian domestik dan mungkin juga eksport) dengan enjin generasi baharu yang dikenali sebagai “Izdeliye 30” (Produk 30) atau AL-51F1.

Enjin baharu ini dijangka akan menawarkan peningkatan kuasa tujahan, kecekapan bahan api, dan ciri-ciri halimunan yang lebih baik, termasuk reka bentuk nosel rata. Namun, pelaksanaannya masih dalam pembangunan dan dijangka mengambil masa beberapa tahun lagi sebelum sedia untuk pengeluaran bersiri.

Pada acara LIMA 2025, Rosboronexport turut bakal melakukan demonstrasi helikopter serangan Rusia Ka-52E dan Mi-28NME, serta helikopter pengangkut tentera Mi-171Sh di samping menampilkan aksi aerobatik jet pejuang Su-35S dan Su-30SM oleh pasukan Russian Knights. 

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here