
Seorang lelaki maut terkena tayar yang meletup ketika sedang mengisi angin dalam satu kejadian di tempat kerjanya di Jalan Durok, Keningau, pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan luka di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang memaklumkan bahawa pekerjanya dipercayai telah meninggal dunia.
“Menurut saksi yang juga rakan sekerja mangsa, dia melihat mangsa sedang mengepam tayar untuk kegunaan lori 10 tan sebelum tayar tersebut meletup dan hentakan kuat terkena pada muka mangsa.
“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut mengesahkan kejadian berlaku sebagaimana yang dimaklumkan oleh saksi,” katanya.
Tambah beliau, hasil pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati tiada unsur jenayah yang menyebabkan kematian mangsa.
Pemeriksaan pada tubuh mangsa mendapati terdapat luka di bahagian kepala yang dipercayai akibat hentakan daripada letupan tayar tersebut dan mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Keningau untuk tindakan lanjut.