
Sebelum majlis pelancaran pada 2 Julai ini, Hyundai Motor Malaysia memperkenalkan Hyundai Santa Fe 2025 generasi kelima kepada umum menerusi sesi pratonton media.
Model baharu itu bukan sahaja membawa rekaan luar yang radikal, malah memperkenalkan tren kuasa baharu yang lebih relevan dengan keperluan semasa pengguna Malaysia.
Santa Fe generasi kelima tampil dengan falsafah rekaan serba baharu yang boleh dilihat pada garis badan yang lebih bersegi, permukaan rata, dan elemen visual yang menyerlah.
Gril hadapan kini lebih besar dan mendatar, dengan lampu siang DRL berbentuk ‘H’ yang menjadi signatur terkini Hyundai.
Dua Pilihan Trenkuasa: Turbo Petrol & Hybrid
Untuk pasaran Malaysia, Hyundai Santa Fe 2025 akan ditawarkan dalam dua konfigurasi enjin:
- 1.6L Turbo Hybrid (235PS/367Nm) – dengan motor elektrik dan transmisi automatik 6-kelajuan
- 2.5L Turbo Petrol (281PS/422Nm) – dipadankan dengan transmisi dwi-klac 8-kelajuan
Varian hibrid itu bakal menarik perhatian pembeli yang mementingkan kecekapan bahan api tanpa mengorbankan prestasi, manakala versi turbo 2.5L menawarkan pecutan responsif untuk mereka yang mahukan SUV bertenaga.
Dipasang Tempatan (CKD) – Pelancaran Suku Ketiga 2025
Hyundai Motor Malaysia mengatakan bahawa Santa Fe 2025 akan mula dipasang secara CKD di Kulim, Kedah, menjelang suku ketiga tahun ini. Ini dijangka memberikan kelebihan dari segi harga jualan yang lebih kompetitif dan meningkatkan sokongan selepas jualan.
Langkah ini sekaligus menunjukkan komitmen Hyundai Malaysia untuk memperkukuh kedudukan jenama dalam pasaran SUV 7-tempat duduk tempatan.
Buat masa ini, bahagian dalaman masih lagi rahsia. Namun kami jangka ia dilengkapi dengan ciri moden serta berteknologi tinggi untuk memenuhi keperluan bakal pemiliknya. Santa Fe ini mungkin dilengkapi dengan:
- Paparan digital penuh (kluster + infotainmen)
- Apple CarPlay & Android Auto tanpa wayar
- Kamera 360 darjah
- Kawalan iklim 3-zon
- Sistem bantuan pemandu Hyundai SmartSense (ADAS)
Susun atur 3 baris tempat duduk turut dipertingkat, termasuk akses keluar masuk yang lebih mesra pengguna serta ruang barangan yang lebih praktikal.
Harganya juga, kita tunggu pada majilis pelancarannya pada minggu hadapan. Nantikan maklumat lanjut spesifikasi penuh dan harga rasmi hanya di Motoqar.