
Polis menerima tujuh laporan berhubung kejadian beberapa kenderaan yang diparkir di tepi jalan berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Glenmarie di Shah Alam dilanggar sebuah lori, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata siasatan mendapati kejadian sekitar jam 2.10 petang itu berlaku apabila pemilik kenderaan meletakkan kenderaan mereka di tepi jalan untuk menggunakan perkhidmatan LRT ke tempat kerja.
Beliau berkata pemilik hanya menyedari kenderaan mereka telah dilanggar oleh sebuah kenderaan yang dipercayai kenderaan berat sejurus pulang dari tempat kerja.
“Setakat 4.00 petang ini (Khamis), Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam telah menerima tujuh laporan polis berkaitan kejadian tersebut.
“Pegawai penyiasat kes sedang mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kawasan berhampiran bagi mengenal pasti kenderaan terlibat, dan kes disiasat di bawah Kaedah 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat BSPT, Inspektor Abdul Nasser Peping di talian 012-2863875 bagi membantu siasatan.
Terdahulu tular di media sosial menunjukkan kenderaan yang diparkir di bahu jalan rosak teruk akibat dilanggar lari.