
Terinspirasi dari semangat harimau yang garang, Boon Siew Honda (BSH) memperkenalkan Honda CBR150R Special Edition (SE) menerusi skema warna eksklusif.
Penampilan sportbike itu semakin sporty dengan padanan palet warna CyberRoar menerusi semburan cat magenta bersama grafik jalur berwarna jingga pada bahagian depan, sisi bawah dan belakang.
Menambah estetika aura buas, kepala Harimau disematkan dengan jelas dalam posisi mengaum di setiap sisi.
Setiap pembelian akan disertakan dengan set hadiah edisi istimewa merangkumi kamera sukan panorama, penunggang boleh berkomunikasi lancar bersama rombongan konvoi menggunakan interkom serta membawa barang keperluan dalam beg pantulan LED.
Untuk menambah eksklusiviti, hanya 250 unit Honda CBR150R SE ditawarkan di pasaran pada harga cadangan RM14,399.
Sementara itu, BSH masih lagi menawarkan Honda CBR150R standard dengan pilihan warna sedia ada iaitu Honda Tricolor, yang terinspirasi dari DNA perlumbaan Honda yang ikonik dan perak pada harga RM13,399.