
Chery Malaysia rasmi melancarkan SUV kompak, Tiggo Cross ke pasaran tempatan menerusi dua pilihan varian :
- 1.5 Turbo : RM88,800
- 1.5 Hybrid CSH : RM99,800
SUV segmen-A itu memiliki dimensi panjang 4,318mm, lebar (1,830mm) dan tinggi (1,670mm) serta jarak roda 2,610mm.
TRENKUASA
Varian petrol 1.5 liter turbo menghasilkan kuasa 147PS dan tork 210Nm yang kemudian dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan DCT.
Ia memiliki tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sport. Pecutan 0-100kmj mampu dicapai dalam tempoh 10.3 saat menggunakan mod Sport.
Di atas kertas, varian 1.5 Turbo menawarkan kecekapan bahan api sebanyak 6.3 liter/100km.
Sementara itu, versi 1.5 Hybrid CSH masih lagi menggunakan enjin yang sama namun tanpa turbo. Janakuasa ICE itu menghasilkan kuasa 96PS dan tork 120Nm.
Ia kemudian dipadankan dengan dua motor elektrik (204PS/310Nm) dan penghantaran kuasa ke roda depan disalurkan menerusi transmisi DHT.
Varian hibrid hanya didatangkan dengan dua mod pemanduan iaitu Eco dan Sport manakala pecutan 0-100kmj dicapai dalam tempoh 8.9 saat (mod Sport).
Penggunaan bahan apinya juga lebih baik iaitu 5.4 liter/100km. Gabungan teknologi hibrid dan saiz tangki bahan api 51 liter mampu menawarkan jarak pemanduan sehingga 1,000km.
PERBEZAAN VARIAN
Perbezaan varian turbo dengan hibrid adalah dilengkapi dengan rim bersaiz 18-inci, enam beg udara, kemasan ‘kosong’ pada punat kawalan stereng, logo Chery pada stereng dan sistem ADAS merangkumi departure warning, pemantauan titik buta, amaran trafik belakang, lampu tinggi automatik, lane departure prevention, kawalan kruise adaptif, amaran perlanggaran depan dan brek kecemasan autonomi.
Manakala varian hibrid didatangkan dengan rim 17-inci, fungsi lumbar pada kerusi pemandu, 7 beg udara, kemasan hitam pada punat kawalan stereng, lencana ‘CHERY’ pada stereng dan ciri keselamatan ADAS lengkap dengan tambahan amaran buka pintu, amaran perlanggaran belakang, brek trafik belakang, bantuan tukar lorong, kekal lorong kecemasan, brek multi perlanggaran, bantuan kesesakan trafik, lane centring assist dan bantuan had laju.
CIRI PERALATAN STANDARD
Tiggo Cross didatangkan dengan ciri peralatan standard melibatkan pencahayaan LED pada kesemua lampu bersama fungsi ‘follow me home’. SUV itu juga dilengkapi dengan rel bumbung bersama spoiler sporty.
Masuk ke kabin, skrin besar yang panjang merangkumi kluster meter dan infotainmen mendominasi papan pemuka dengan saiz masing-masing 10.25 inci. Ia kemudian dipadankan dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
Operasi pemanduan di lorong kecil dan parkir menjadi mudah dengan paparan kamera panorama 360 darjah HD.
Chery turut menawarkan lampu ambien dalam kabin bersama kawalan dua zon pendingin hawa automatik dan tiga port USB di samping pengecas tanpa wayar 15 watt.
WARANTI
Demi ketenangan minda pemilik Tiggo Cross didatangkan dengan jaminan 7-tahun atau perbatuan 150,000km (mana tiba dahulu) serta servis tunda percuma selama 7-tahun.
Varian hibrid didatangkan dengan tambahan waranti 8-tahun atau sehingga perbatuan 160,000km bagi pek kuasa bateri, motor kuasa dan unit kawalan hibrid.