
Chery menggunakan acara Malaysia Autoshow 2025 (MAS2025) untuk memperkenalkan tawaran terbaharu mereka untuk pasaran negara ini, iaitu Tiggo Cross.
Juga dikenali sebagai Tiggo 4, SUV segmen-A yang menjadi pesaing kepada Perodua Ativa dan Honda WR-V ini cukup unik kerana dibekalkan dengan enjin 1.5-liter naturally-aspirated (NA) petrol dengan sistem hibrid.
Enjin dengan kitaran Atkinson ini juga mempunyai kecekapan termal sehingga 40 peratus. Enjin ini menjana 97hp dan 118Nm, dan digandingkan dengan Direct Hybrid Transmission (DHT) iaitu CVT elektronik, dan dua motor elektrik yang memberikan output keseluruhan 201hp dan 310Nm.
Motor elektrik ini mendapat kuasanya dari pek bateri 1.83kWh dan keseluruhan pakej hibrid ini dikatakan mampu memberikan penggunaan petrol serendah 5.4L per 100km bersamaan 18.5km/L. Jarak pemanduan pula sehingga 1,000km. Menarik?
Anda boleh lihat dengan lebih dekat Chery Tiggo 4/Cross ini di acara Malaysia Autoshow 2025 yang akan dibuka untuk orang awam bermula esok, 9 hingga 15 Mei.
Chery juga mempamerkan beberapa teknologi terkini mereka seperti sistem hibrid plug-in (PHEV) terkini, konsep kereta terbang, dan robot humanoid.