Volvo XC70 2026, model hibrid plug-in dengan jarak elektrik lebih 200 km

8

Selepas pengenalan awal pada Mei lalu, Volvo Cars secara rasmi memperkenalkan Volvo XC70 baharu.

XC70 merupakan kenderaan utiliti sukan (SUV) hibrid plug-in jarak jauh pertama Volvo.

Model ini menawarkan jarak pemanduan elektrik yang mencecah lebih 200 kilometer (km) di bawah kitaran ujian CLTC, menjadikannya model hibrid plug-in Volvo dengan jarak terpanjang setakat ini.

Dibina di atas platform baharu Scalable Modular Architecture (SMA), XC70 direka khusus untuk hibrid plug-in jarak jauh.

SUV ini menggabungkan teknologi terkini, ciri keselamatan canggih dan rekaan Skandinavia yang elegan, menjadikannya pilihan ideal untuk keluarga yang inginkan keselesaan tanpa menjejaskan prestasi.

Jarak 1,200 km dan Pengecasan

Berbekalkan jarak pemanduan elektrik yang jauh, XC70 membolehkan pemanduan harian tanpa pelepasan asap dari ekzos.

Enjin pembakaran yang cekap pula menyediakan fleksibiliti tambahan untuk perjalanan jauh, membolehkannya XC70 dipandu melebihi 1,200 km tanpa perlu mengecas atau mengisi minyak.

XC70 dilengkapi teknologi pengecasan pantas yang membolehkan bateri diisi dari 0 hingga 80 peratus dalam hanya 23 minit.

Selain itu, keupayaan pengecasan dua arah membolehkan bateri berfungsi sebagai bank kuasa untuk peranti elektrik lain, menjadikannya sesuai untuk aktiviti luar.

Rekaan Moden dan Ruang Dalaman

Dari segi rekaan, XC70 mencerminkan warisan Skandinavia dengan garis badan dan profil yang dinamik.

Jeriji depan tertutup, mirip model elektrik Volvo, dipadankan dengan bidai jeriji aktif yang mengoptimumkan aerodinamik dan kecekapan tenaga.

Di bahagian belakang, lampu menegak berbentuk C disepadukan dengan kemas pada cermin dan memberikan rupa yang moden.

Ruang dalaman XC70 menawarkan keselesaan premium dengan rekaan Skandinavia yang kemas dan bahan bermutu tinggi.

Kabin yang luas dilengkapi ruang penyimpanan pintar dan bunyi yang mengasyikkan.

Casis yang ditala dengan baik, kelegaan bumi tinggi dan keupayaan pacuan semua roda memastikan pemanduan yang lancar dan selamat, walaupun dalam keadaan jalan mencabar.

Keselamatan dan Maklumat Hibur Pintar

XC70 dilengkapi dengan Teknologi Safe Space yang direka untuk meningkatkan keselamatan.

Dengan penderiaan canggih seperti radar, kamera, dan sensor, SUV ini mampu memantau persekitaran dan membantu pemandu mengelak atau mengurangkan perlanggaran.

Ciri keselamatan lain termasuk amaran pembukaan pintu dan sokongan pemandu pintar seperti bantuan tukar lorong automatik dan Park Pilot Assist.

Sistem maklumat hibur pintar dalam XC70 menampilkan paparan pemandu digital 12.3 inci dan skrin tengah mendatar 15.4 inci.

Pilihan paparan pandu realiti terimbuh (head-up augmented reality) 92 inci turut disediakan.

Sistem ini menyokong perkhidmatan digital seperti pembantu suara berkuasa AI dan kawalan jauh melalui aplikasi Volvo Cars.

Selain itu, kemas kini melalui udara (over-the-air updates) memastikan perisian kereta sentiasa terkini.

Pengeluaran Volvo XC70 baharu telah bermula dan kini tersedia untuk tempahan awal di China dan bakal dibawa ke pasaran Eropah.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here