
Mengikuti pengenalan dua model utamanya, EX90 dan XC90 pada April lalu, Volvo Car Malaysia (VCM) meraikan satu lagi pencapaian dengan memperkenalkan model popularnya, XC60 yang kini tampil dengan wajah baharu.
Versi facelift XC60 itu menampilkan penambahan baharu seperti gril hadapan yang sporty dan elegan, sistem suspensi udara Volvo, serta teknologi intuitif terkini.
Model ini bukan sahaja kegemaran di peringkat global dengan hampir 2.7 juta unit terjual setakat ini, tetapi juga pilihan dipercayai dalam kalangan keluarga Malaysia, dengan lebih 6,200 unit telah dijual di seluruh negara.
“XC60 terus menjadi model kami yang paling popular di Malaysia dan ia mewakili segala yang Volvo perjuangkan, rekaan elegan dan keselamatan tanpa kompromi,“ kata Pengarah Urusan VCM.
PILIHAN HIBRID TERKINI
XC60 yang diperbaharui kini ditawarkan dalam dua varian elektrik pada harga mula:
- XC60 T8 AWD Plug-in Hybrid: RM367,888
- XC60 B5 AWD Mild Hybrid: RM333,888
Kedua-dua varian ini direka untuk memenuhi keperluan pemandu Malaysia masa kini. Varian plug in hibrid menawarkan jarak pemanduan elektrik tulen sehingga 89km (WLTP), sesuai untuk perjalanan harian tanpa emisi.
Apabila diperlukan, enjin petrol akan menghantar tork 450Nm untuk memastikan prestasi responsif untuk perjalanan jauh.
Manakala, varian mild hibrid pula memberikan solusi tanpa pengecasan dengan kecekapan lebih baik.
Ia menggunakan tenaga brek semula untuk menyokong enjin petrol, sekali gus mengurangkan penggunaan bahan api dan emisi sambil mengekalkan pemanduan harian yang lancar dan selesa.
Semua varian XC60 baharu dilengkapi dengan teknologi keselamatan pintar terkini Volvo, termasuk kawalan jelajah adaptif, bantuan kekal lorong, dan sistem elak perlanggaran.
REKAAN & KESELESAAN SERBA BAHARU
Reka bentuk XC60 yang diperbaharui ini mencerminkan falsafah rekaan Scandinavia Volvo. Gril jejaring baharu melengkapi lampu utama LED “Thor Hammer”, manakala lampu belakang kemasan ‘smoked’ menyumbang kepada penampilan yang lebih tegas.
Reka bentuk rim baharu dan pilihan warna luaran, Forest Lake dan Bright Dusk selaras dengan barisan model elektrik moden Volvo.
Tawaran percuma suspensi udara Volvo pada varian plug in hibrid (dalam tempoh terhad) menjamin keselesaan ketika melalui jalan tidak rata mahupun beralun.
Teknologi di dalam XC60 baharu juga direka untuk menjadi intuitif dan berguna. Paparan skrin terapung 11.2 inci di bahagian tengah dikuasakan oleh Google, menawarkan akses lancar kepada navigasi melalui Google Maps dan arahan suara melalui Google Assistant.
Manakala teknologi penulenan udara canggih berupaya menapis hingga 95 peratus partikel berbahaya yang menjamin udara bersih dalam kabin. Tambahan lain termasuk pengecas tanpa wayar yang diposisikan semula, rekaan baharu pemegang cawan dan audio premium Bowers & Wilkins .