Dua anggota Maritim cedera dirempuh bot pancung bawa PATI

33
Dua anggota Maritim mengalami kecederaan selepas dirempuh bot pancung yang disyaki membawa sekumpulan pendatang tanpa izin (PATI) berhampiran sempadan perairan Negeri Sembilan, pada Rabu.
 
Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Salehuddin Zakaria berkata, Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Lumut mengesan sebuah bot mencurigakan pada jam 8.00 malam di kawasan Skim Pemisahan Trafik (TSS) disyaki menuju masuk ke perairan Tanjung Rhu, Sepang.
 
 
“Aset bot ronda Maritim yang sedang melaksanakan rondaan Op Patkor Optima telah diatur gerak bagi memintas bot berkenaan.
 
“Menyedari kehadiran penguatkuasa, bot pancung yang dilengkapi tiga enjin berkuasa tinggi itu bertindak agresif apabila dikejar, malah merempuh sisi kiri bot operasi sehingga mengalami kerosakan teruk sebelum berjaya meloloskan diri,” katanya. 
 
Jelas beliau, bot pancung tersebut dipercayai berpatah keluar dari perairan Malaysia selepas gagal melakukan pendaratan.
 
 
Susulan kejadian itu, seorang anggota cedera di bahagian atas hidung, manakala seorang lagi mengalami kecederaan di kaki dan tangan akibat hentakan.
 
Kedua-dua anggota telah dihantar ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut dan kini dilaporkan stabil.
 
Tambah Salehuddin, pihak Maritim melakukan operasi pengesanan dan tindakan khas kini sedang giat dilaksanakan bagi menjejaki suspek dan rangkaian penyeludupan terlibat.
 
“Insiden ini sekali lagi membuktikan bahawa tugas sebagai anggota penguat kuasa Maritim berisiko tinggi, kerana sentiasa berhadapan ancaman secara langsung di laut termasuk dirempuh, malah berdepan kemungkinan kehilangan nyawa,” ujarnya.
ARTIKEL LAIN

Malaysia rancang beli pesawat maritim, helikopter dan kapal laut dari Itali

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here