Ulat teksi kenakan caj RM836 bergerak secara berkumpulan

26
 
Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke menyatakan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menahan ulat teksi yang mengenakan caj tinggi pada pelancong asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Terminal 2 semalam.
 
Ulat teksi itu dikatakan mengenakan caj tambang sebanyak RM836 kepada pelancong berkenaan berbanding tawaran asal hanya RM60.
 
Sementara itu, Bernama melaporkan JPJ menahan wanita tempatan itu yang disyaki sebagau ‘ulat teksi’ dan dipercayai menjalankan kegiatan tersebut secara berkumpulan.
 
 
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata maklumat itu diperoleh melalui soal siasat terhadap suspek berusia 30-an yang ditahan di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 (T2) pada pukul 1 pagi dan pihaknya kini sedang menjejaki baki ahli kumpulan berkenaan.
 
“Selepas video suspek tular di media sosial dua hari lepas mengenai seorang pelancong asing yang ditipu oleh ‘ulat’ di KLIA T2, pihak JPJ melakukan penyamaran dan berjaya menahan suspek yang cuba memperdaya seorang pelancong warga Filipina yang hendak ke pusat bandar,” katanya.
 

Azrin berkata pihaknya turut menyita sebuah Perodua Axia berwarna hitam digunakan oleh wanita itu yang dipercayai disewa daripada individu lain.

Menurut beliau, modus operandi wanita berkendan adalah dengan mendekati pelancong asing yang baharu tiba dan menawarkan harga yang murah untuk perkhidmatan pengangkutan ke ibu kota.

“Ketika ditahan wanita berkenaan memaklumkan beliau melakukan kegiatan itu untuk mencari pendapatan tambahan dan difahamkan dia mampu membuat tiga perjalanan dalam sehari,” katanya.

Azrin berkata kes disiasat mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Menurut beliau, sejak Januari lepas sehingga kini, sebanyak 143 ulat teksi telah ditahan dan dikenakan kompaun berjumlah RM419,200.

 
 
 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here