
Porsche Malaysia melancarkan semula 911 GT3 ke pasaran tempatan menerusi dua pilihan model iaitu 911 GT3 baharu dan 911 GT3 dengan pakej Touring.
Pelancaran serentak dua versi buat pertama kali di Malaysia itu menawarkan pilihan kereta sukan yang memfokuskan kegunaan litar dengan sayap belakang dan versi lebih ringkas menerusi Pakej Touring.
Dengan pakej yang direka khas dan pilihan inovatif, kedua-dua varian GT3 boleh disesuaikan mengikut citarasa dan tujuan kegunaan pemilik pada harga mula RM 2.290 juta.
Kereta sukan Porsche itu didatangkan dengan enjin flat-six 4.0 liter aspirasi semula jadi yang dinaik taraf berkuasa 375 kW (510 PS) dan tork 450Nm.
Ia kemudian dipadankan dengan pilihan transmisi dwi-klac 7-kelajuan (PDK) atau transmisi manual GT 6-kelajuan. Pecutan dari 0-100kmj mampu dicapai dalam tempoh 3.4 saat (PDK) dengan kelajuan maksimum 311kmj.
Berikut faktar ringkas Porsche 911 GT3 :
- Menampilkan reka bentuk hadapan dan belakang yang dipertajam, termasuk diffuser hadapan yang dibentuk semula dan rekaan lip spoiler yang diperhalusi serta modifikasi komponen aerodinamik (fin) di badan bawah yang meningkatkan downforce.
- Di belakang, diffuser, pengambilan udara dan penutup belakang direka bentuk semula manakala sayap belakang 911 GT3 mempunyai plat sisi bersudut baharu.
- Rekaan semula lampu hadapan Matrix LED.
- Porsche menggunakan trailing arms aerodinamik yang dibangunkan khas dengan profil ‘titisan air mata’ pada gandar hadapan dua-wishbone. Ia meningkatkan downforce pada lengkung roda ketika kelajuan tinggi dan meningkatkan penyejukan brek.
- 911 GT3 didatangkan standard dengan tayar sukan 255/35 ZR 20 (hadapan) dan 315/30 ZR 21 (belakang) dengan cengkaman permukaan basah yang dipertingkatkan.
- Ia juga menggunakan reka bentuk ringan sepenuhnya menerusi roda aluminium ringan berwarna perak baharu mengurangkan berat sebanyak lebih 1.5 kg berbanding model sebelumnya.
- Secara pilihan, roda magnesium tersedia dengan Pakej Weissach atau Pakej Leichtbau (ringan), penjimatkan 9kg.
- Bateri ringan litium-ion 40 Ah baharu menyumbang kepada indeks jisim badan yang atletik dengan mengurangkan kira-kira tambahan 4kg. Dalam konfigurasi paling ringan, 911 GT3 baharu hanya seberat 1,420kg.
- Masuk ke kokpit, tersedia tempat duduk bucket ringan baharu dengan sandaran boleh lipat dan cengkerang tempat duduk yang diperbuat daripada CFRP (tersedia sebagai pilihan).
- Sebahagian daripada pelapik sandaran kepala boleh ditanggalkan. Ini meningkatkan ergonomik bagi kebanyakan pemandu apabila memakai topi keledar semasa pemanduan litar.
- Sebagai alternatif, anda boleh memesan Adaptive Sports Seats Plus dengan pelarasan elektrik 18-hala.
- Kokpit standard dua tempat duduk berwarna hitam dalam 911 GT3 baharu adalah berdasarkan reka bentuk model 911 semasa.
- Tidak seperti model Carrera, 911 GT3 tidak dihidupkan dengan butang, tetapi masih mempunyai suis pencucuhan putar.
- Panel instrumen digital di tengah menyokong pemandu dengan paparan yang tersusun jelas dan konsep kawalan. Skema warna yang kontra membolehkan bacaan meter rev dan jam randik dengan pantas.
PAKEJ TOURING
Penamaan Pakej Touring bermula dari varian 911 Carrera RS 2.7 tahun 1973. Ia telah menjadi sebahagian daripada program GT3 sejak 2017.
Pakej Touring 911 GT3 baharu lebih individual menerusi logo “911 GT3 Touring” pada gril penutup belakang. Porsche 911 GT3 dengan Pakej Touring tidak mempunyai sayap tetap dan dengan itu mengekalkan garis 911 yang elegan sepanjang masa.
Selain itu, turut tersedia spoiler belakang yang boleh dipanjangkan dengan tear-off edge, flap Gurney yang popular dan reka bentuk sirip yang disesuaikan pada bahagian bawah badan kereta memberikan keseimbangan aerodinamik.
Buat kali pertama, sistem tempat duduk belakang untuk 911 GT3 dengan Pakej Touring tersedia sebagai pilihan. Ini membolehkan kereta sukan harian disesuaikan dengan lebih individu mengikut kehendak pelanggan.
Porsche menawarkan pelbagai pakej peralatan untuk 911 GT3 baharu menerusi Pakej Weissach yang tersedia buat kali pertama untuk kegunaan litar antaranya bar anti-golek, rod gandingan, dan panel ricih pada gandar belakang diperbuat daripada CFRP.