#PanduUji : Tiggo Cross Hybrid, crossover paling smart untuk weekend getaway

17

Siapa sangka, gelombang baharu dari Timur (China) kini menggegarkan pasaran automotif, bukan hanya dengan janji spesifikasi tinggi tetapi juga tawaran harga yang sangat mampu milik?.

Terutamanya dalam segmen hibrid yang semakin mendapat tempat. Persoalannya, mampukah pendatang baharu ini benar-benar menawan hati pemandu yang telah lama setia dengan ketelitian jenama Jepun?.

Inilah masa untuk mengujinya. Kami berkongsi pengalaman memandu uji Chery Tiggo Cross Hybrid, sebuah crossover yang dilihat sebagai pilihan gaya hidup masa kini.

Chery Malaysia memilih lanskap indah Terengganu sebagai medan ujian terakhir yang mana kami diberi kebebasan dengan satu misi rahsia adalah merekodkan kecekapan penggunaan bahan api. 

 

Tangki minyak 51 liter diisi penuh dan tutup dengan pelekat, bersedia untuk menempuh perjalanan menuju Terengganu.

Namun, semangat pemanduan kami lebih membara. Sewaktu berada di laluan Lebuhraya Karak yang menguji, kami bersama rakan media Mekanika dan Automachi membuat keputusan drastik.

“Lupakan sebentar misi jimat minyak, mari kita cepat sampai ke Terengganu!” gurau Abang Japar.

Kami segera menguji kemampuan sebenar Tiggo Cross.

Melalui selekoh-selekoh Lebuhraya Karak yang menuntut tumpuan dan respons pantas, sistem hibrid dan Dedicated Hybrid Transmission (DHT) Tiggo Cross tidak mengecewakan.

Sebaik sahaja pedal ditekan, daya tork dari motor elektrik hadir serta-merta, memberikan ‘tolakan’ awal yang mengujakan sebelum enjin petrol mengambil alih dengan lancar.

Pecutan ini sangat lincah dan responsif, menjadikan proses memotong kenderaan di hadapan terasa selamat dan penuh keyakinan.

Ia membuktikan bahawa Tiggo Cross Hybrid bukan sekadar kereta jimat yang ‘lemah’, ia adalah teman pemanduan yang sporty apabila diperlukan. Berbanding varian Turbo yang terasa sedikit lambat dalam penghantaran kuasa, hibrid ini menawarkan pengalaman yang lebih dinamik dan segera.

Walaupun stereng yang agak ringan mungkin memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri pada kelajuan tinggi, karakter ini ideal untuk pemanduan di kota.

Menjadikannya mudah untuk bermanuver di celah kesibukan trafik dan bebas tekanan ketika memarkir.

Apa yang paling mengejutkan tentang crossover China ini adalah kualiti suspensinya. Dengan rim 17 inci dan profil tayar yang lebih tebal, kenderaan ini mampu meredam goncangan di jalanan beralun dengan begitu baik.

Perjalanan terasa lebih selesa dan kurang gegaran, faktor penting yang meningkatkan kualiti hidup harian anda.

Keselesaan ini diperkuatkan lagi dengan kedapan kabin yang terbilang senyap. Pengasingan bunyi luar, dari kebisingan jalan hingga desiran enjin, berada pada tahap minimum.

Ini mewujudkan kabin yang intim, membolehkan perbualan santai atau mendengar muzik kegemaran dengan selesa. 

Estetika Luaran

Tiggo Cross dirancang untuk membuat kenyataan. Gril hadapan yang besar dengan motif berlian bintang memenuhi fascia, serta-merta memberikan kesan mewah dan berani.

Ini adalah reka bentuk yang sempurna buat sesiapa sahaja yang mahu tampil menonjol dan penuh keyakinan.

Dipadankan pula dengan lampu utama LED yang slim dan moden, ia bukan sahaja memberikan pencahayaan yang terang pada waktu malam, tetapi juga menggariskan rupa yang futuristik.

Di bahagian belakang, trend reka bentuk premium masa kini dengan lampu LED penuh yang bersambung dari kiri ke kanan memberikan tampilan yang lebar dan stabil.

Ia adalah ciri keselamatan yang anggun. Tambahan pula, dengan fungsi kamera 360 darjah proses mengundur dan memarkir kini menjadi lebih mudah dan bebas kerutan dahi.

Kabin Dalaman: Ruang Peribadi Digital Anda

Melangkah masuk ke kabin, anda disambut dengan dominasi warna gelap yang membangkitkan rasa premium, bersih dan moden. Reka bentuk papan pemuka yang horizontal dan minimalis memberikan kesan ruang yang lapang.

Titik fokus utama sudah pasti adalah panel dwiskrin 10.25 inci yang panjang dan terapung. Gabungan meter digital dan skrin infotainmen ini mencipta suasana futuristik, seolah-olah anda berada di dalam kereta mewah Eropah.

Kawalan penghawa dingin kini diintegrasikan ke dalam panel sentuh yang kelihatan canggih. Walaupun kelihatan cantik, awas dengan kesan cap jari!

Skrin sentuh yang responsif memudahkan akses kepada ciri gaya hidup moden yang penting dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Kekal berhubung, melayari navigasi, atau menukar senarai main kini boleh dilakukan dengan lancar tanpa perlu wayar yang berselirat.

Keselesaan kabin juga dititikberatkan. Tempat duduk hadapan direka dengan sokongan yang baik, dan yang paling penting untuk pemandu wanita, sokongan lumbar yang selesa adalah kelebihan besar untuk mengelakkan sakit belakang semasa memandu jarak jauh.

Ruang penyimpanan yang banyak di konsol tengah turut memastikan barangan peribadi seperti kunci, dompet, dan telefon sentiasa kemas dan mudah dicapai.

Chery Tiggo Cross Hybrid bukan sekadar kereta yang lulus ujian pandu. Ia adalah penyataan gaya hidup yang menawarkan tangkisan kuasa yang meyakinkan, keselesaan akustik yang mewah, dan reka bentuk yang menawan.

Bagi mereka yang mencari nilai terbaik, teknologi canggih, dan pengalaman pemanduan yang menyeronokkan, crossover ini adalah jawapan yang patut dipertimbangkan.

Bagaimana dengan penggunaan minyak?, walaupun pedal minyak ditekan ke dalam dan pecutan melebihi 120kmj. Rekod penggunaan bahan api agak mengejutkan yang mana sebaik tiba di Temerloh penggunaan adalah 7 liter setiap 100km. 

Jika anda memandu dengan berhemah tidak mustahil untuk mencapai 1,000km dengan tangki penuh. Sayangnya sebaik tiba di Terengganu kami terlupa untuk melihat baki penggunaan petrol. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here