
Satu tuntutan mahkamah menyatakan pelajar kolej yang maut selepas terperangkap dalam Tesla Cybertruck yang terbakar adalah akibat kecacatan reka bentuk pintu.
Krysta Michelle Tsukahara, 19, adalah salah seorang daripada tiga mangsa yang meninggal dunia selepas trak pikap elektrik itu merempuh sebatang pokok pada kelajuan tinggi di Piedmont, California, November lalu.
Ibu bapa Krysta memulakan tindakan undang-undang dengan mendakwa Tesla yang diketuai oleh Elon Musk telah mengetahui tentang kecacatan reka bentuk itu selama bertahun tetapi gagal membaikinya.

Krysta, pelajar tahun kedua di Savannah College of Art and Design, bersama rakannya Soren Dixon, 19 (pemandu) dan Jack Nelson, 20 maut dalam nahas berkenaan namun rakan mereka, Jordan Miller, diselamatkan seorang saksi dengan menggunakan ranting pokok untuk memecahkan tingkap dan menariknya keluar.
Carl dan Noelle Tsukahara memfailkan saman terhadap Tesla pada April lalu dan kini telah meminda saman tersebut dengan tuntutan ‘kesilapan kematian’ setebal 36 muka surat.
Menurut saman itu, awalnya Krysta hanya mengalami kecederaan ringan, tetapi apabila bateri Cybertruck itu menyala, dia meninggal dunia akibat terbakar dan terhidu asap.
Aduan itu menekankan bahawa pintu kenderaan berkuasa bateri itu boleh gagal jika bekalan kuasa terputus, dan Krysta tidak dapat keluar kerana pelepas pintu manual sukar untuk dicari.
Pelajar remaja itu ‘mengalami kesakitan dan tekanan emosi yang tidak terbayangkan’ semasa terperangkap di bahagian belakang kenderaan yang terbakar, menurut saman itu.
Bercakap kepada The New York Times, bapanya berkata nyawa anak perempuannya boleh diselamatkan jika adanya cara lebih mudah untuk keluar dari kenderaan elektrik itu.
Siasatan awal Pasukan Peronda Lebuhraya California menyimpulkan bahawa alkohol, pengaruh dadah, dan kelajuan berlebihan menyebabkan pemandu hilang kawalan.
Pemandu kereta, Dixon didapati mempunyai kokain dan paras alkohol dalam darah 0.195 iaitu lebih dua kali ganda had undang-undang.
The Daily Mail telah menghubungi Tesla untuk mendapatkan komen mengenai dakwaan tuntutan mahkamah tersebut.