Bajet 2026 : Peruntukan RM2.5 bilion selenggara jalan Persekutuan

9

Dalam usaha membendung nahas jalan raya daripada terus berlaku, kerajaan akan mengambil langkah proaktif termasuk memastikan keadaan jalan dan persekitarannya bertambah baik.

Ia susulan beberapa tragedi meragut nyawa melibatkan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), nahas bas pelancong di Ayer Hitam, kemalangan trak anggota polis di Teluk Intan dan insiden lori di Plaza Tol Bukit Kajang, baru-baru ini.

Antara inisiatif diumumkan menerusi Belanjawan 2026 ialah peruntukan RM2.5 bilion untuk menyelenggara jalan Persekutuan.

Ini termasuk penurapan jalan berlubang dan pemasangan lampu jalan di kawasan berisiko serta mengganti perabot jalan, di samping RM700 juta dikhususkan untuk kontraktor G1 hingga G4.

Sejumlah RM5.6 bilion pemberian Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) juga akan diserahkan kepada kerajaan negeri untuk menyelenggara jalan negeri di seluruh negara.

Selain itu, RM30 juta diperuntukkan untuk memperkasa peranan Jurutera Daerah bagi mempercepat kerja pembaikan kecil di daerah termasuk aduan rakyat melalui aplikasi MYJalan.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) juga akan memasang 3,000 unit lampu LED di beberapa lokasi tumpuan lebuh raya yang berisiko berlaku kemalangan.

Bagi membantu penguatkuasaan had laju, kos pembelian alat pengehad kelajuan untuk kenderaan berat diberi Elaun Modal Dipercepatkan untuk dituntut dalam tempoh satu tahun.

Kementerian Pengangkutan kini di peringkat akhir menetapkan peraturan had kelajuan untuk kenderaan berat manakala program saringan Kesihatan PERKESO akan diperluas kepada pemandu pengangkutan awam dan barangan.

Bagi kenderaan melebihi 20 tahun, kerajaan bersama syarikat pengeluar kenderaan nasional menyediakan geran padanan sehingga RM4,000 untuk menggalakkan pemilik melupus kenderaan dan membeli kenderaan nasional baharu.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here