
Ketua Dewan Ekonomi Nasional (DEN), Luhut Binsar Pandjaitan mendedahkan China telah memberikan persetujuan untuk meneruskan projek pembangunan kereta api laju dari Jakarta hingga ke Surabaya.
Namun begitu, persetujuan itu tertakluk kepada satu syarat utama iaitu kerajaan Indonesia perlu segera menyelesaikan isu penstrukturan semula hutang PT Kereta Cepat Indonesia China (KCIC) atau Whoosh.
“China hanya berkata, kita bersedia untuk meneruskan (projek) sehingga ke Surabaya jika kamu (Indonesia) menyelesaikan masalah penstrukturan ini dengan segera.
“Saya berkata ketika berada di China tiga bulan lalu, ‘Baiklah’, tetapi kini hanya tinggal menunggu Keputusan Presiden (Keppres), agar pasukan (hutang) dapat melaksanakan tugas mereka,” jelasnya.
Tambahnya, beliau telah berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Danantara, Rosan P. Roeslani berkaitan struktur semula hutang projek Whoosh dan mendesak agar pembentukan pasukan penstrukturan itu dapat direalisasikan segera.
“Semalam saya sudah memberitahu Rosan, saya kata, ‘Rosan, buatlah pasukan segera. Orangnya ini, ini, dan ini. Awak uruskan Keppresnya, ya.’ Dia menjawab, ‘Saya akan bincang dengan Presiden’.
“Jadi kawan-kawan sekalian, tiada yang tidak boleh diselesaikan. Negara sebesar ini, kuasa ada pada Presiden, selagi kita bersatu, apa yang susah? Itu boleh diselesaikan,” tegas Luhut.
Penyelesaian Hutang Kereta Api Laju Bakal Diterbitkan

Dalam kesempatan yang sama, Luhut turut memaklumkan bahawa Presiden Prabowo Subianto akan mengeluarkan Keppres untuk menyelesaikan isu hutang PT KCIC kepada China.
Penerbitan Keppres ini adalah berkaitan secara langsung dengan penstrukturan semula hutang KCIC.
Menurut Luhut, Rosan Roeslani sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Danantara bersetuju agar hutang KCIC dikendalikan bersama.
Apabila ditanya sama ada pembayaran hutang KCIC akan diambil daripada dividen Danantara, Luhut belum dapat mengesahkannya.
Beliau hanya memberikan anggaran bahawa skema pembayaran hutang boleh dilakukan seperti ketika menyelesaikan masalah pembayaran projek Light Rail Transit (LRT).
“Nanti kita akan lihat. Sama seperti LRT, mungkin ada jurangnya itu beberapa trilion, nanti dari situ kita akan bayar secara ansuran, supaya ia boleh berjalan.
“Adakah LRT ini tidak bermasalah? Ia bermasalah. Kita lakukan restrukturisasi, kan selesai. Ini juga sama (kereta api laju),” katanya.






























