
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor merekodkan kutipan berjumlah RM590,170 menerusi lelongan 443 kenderaan yang disita menerusi tiga siri lelongan awam tahun ini.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, menerusi siri ketiga yang dijalankan pada Rabu, 200 kenderaan terdiri daripada motosikal, kereta dan lori dilelong kepada orang awam dengan kutipan berjumlah RM277,030.
“Lelongan kali ini adalah yang paling tinggi dari segi kutipan serta jumlah kenderaan dan ini sesi terakhir untuk tahun ini.

“Untuk makluman, pada siri pertama, JPJ Selangor melelong sebanyak 98 kenderaan dengan kutipan RM181,000 manakala siri kedua melibatkan 145 kenderaan berjaya dilelong melibatkan kutipan hasil keseluruhan RM132,040,” katanya.
Beliau berkata kesemua kenderaan yang dilelong adalah kenderaan yang disita mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan tidak dituntut oleh pemilik dalam tempoh yang ditetapkan.
Katanya, sebelum kenderaan layak dilelong, ia melalui proses pelucutan hak mengikut prosedur yang ditetapkan antaranya pemakluman kali kedua kepada pemilik kenderaan, permohonan pelucutan hak dengan pengesahan Pengarah JPJ Negeri dan mendapat perintah pelucutan hak dari mahkamah.
“JPJ Selangor ingin mengingatkan semua pemilik kenderaan yang telah disita agar segera hadir ke pejabat JPJ yang berkaitan untuk membuat tuntutan serta penyelesaian sebelum kenderaan tersebut dilelongkan.
“Justeru, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa memastikan Lesen Memandu Malaysia (LMM), Lesen Kenderaan Motor (LKM), serta insuran kenderaan masih aktif dan berkuat kuasa,” katanya.
































