Tol Genting Highlands : Prinsip ‘pengguna bayar’, tampung kos penyelenggaraan

34

Genting Malaysia Bhd mengesahkan bahawa akan ada bayaran yang dikenakan untuk kenderaan yang memasuki Jalan Genting Highlands pada tarikh yang akan diumumkan kelak.

Syarikat itu dalam satu kenyataan pada Khamis berkata maklumat lanjut berhubung perkara itu akan diumumkan sebaik sahaja butiran lanjut mengenai bayaran bagi jalan persendirian ini (Caj Jalan Persendirian) tersedia.

Genting Malaysia menegaskan bayaran bagi menggunakan jalan persendirian itu adalah perlu memandangkan kos penyelenggaraan sepanjang 24km dan cerunnya ditanggung sepenuhnya oleh syarikat tersebut sejak tahun 1960-an.

Kredit Foto : Aurizn

Jalan Genting Highlands yang dibina secara persendirian oleh Genting Malaysia di kawasan berliku dan bergunung-ganang itu menyediakan akses yang selamat ke Resorts World Genting serta destinasi pergunungan selain Genting Malaysia.

“Penggunaan yang kerap di Jalan Genting Highlands telah menyebabkan banyak kerosakan dan memerlukan penyelenggaraan yang berterusan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya,” kata syarikat itu.

Mengenai prinsip “pengguna membayar”, Genting Malaysia berkata bayaran bagi penggunaan di jalan persendirian adalah kaedah paling berdaya maju untuk menampung kos penyelenggaraan, pembaikan, penyelenggaraan dan insiden lain yang tidak dijangka.

“Ini bagi memastikan jalan raya terus selamat untuk semua pengguna, dan menyediakan akses kepada seluruh komuniti Genting Highlands, perniagaan, berjuta pelancong dan orang awam dari seluruh negara,” katanya.

Syarikat itu berkata ia adalah inisiatif swasta di jalan persendirian di atas tanah persendirian.

“Genting Malaysia menggalas tanggungjawab untuk menjaga keselamatan jalan raya dan cerun dengan serius.

“Menjalankan kerja di kawasan pergunungan adalah mencabar, berbahaya dan mahal, tetapi ia penting untuk memastikan keselamatan jalan raya dan lereng untuk penambahbaikan berterusan bagi semua pengguna,” katanya.

Selain itu, syarikat juga menempatkan pasukan di pertengahan dan puncak bukit dalam keadaan bersedia sepanjang masa untuk sebarang kemungkinan luar jangka dengan pasukan tindak balas kecemasan terlatih sekiranya berlaku kemalangan dan kecelakaan.

Genting Malaysia menegaskan jalan ini penting dalam memangkinkan industri pelancongan di sini, sekali gus menyumbang peluang untuk perusahaan dan pekerjaan, mewujudkan ekonomi tempatan yang rancak dan menyumbang kepada ekonomi negeri Pahang serta ekonomi negara.

Jalan Genting Highlands juga telah menyediakan peluang kepada kewujudan destinasi pergunungan lain selain daripada yang diurus kumpulan Genting Malaysia, menyumbang kepada industri pelancongan yang dinamik.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here