
Seorang lelaki maut manakala isterinya patah kaki selepas motosikal ditunggang merempuh sebuah lori yang mengubah laluan secara mengejut di Jalan Ipoh-Lumut.
Kejadian itu dirakam dalam video berdurasi 30 saat yang tular di media sosial memaparkan sebuah lori membuat pusingan ke kiri selepas melepasi simpang sebenar ketika lampu isyarat bertukar hijau.
Kejadian yang berlaku sekitar jam 3 petang pada Sabtu itu mengorbankan Ahmad Taufik Abu Bakar, 60, manakala pembonceng Azizah Mat Jamat, 61 mengalami patah kaki kiri.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, semasa kejadian, pasangan warga emas berkenaan menunggang Honda C100 dari arah Batu Gajah ke Ipoh.

Menurutnya, tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa tidak sempat mengelak sebuah lori di hadapan yang bergerak di lorong kanan hendak masuk ke simpang kiri.
“Keadaan itu mengakibatkan motosikal mangsa melanggar bahagian tepi lori.
“Pemandu lori berusia 23 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati, motosikal itu tidak memiliki cukai jalan selain insurans tamat tempoh.
Sementara, lori pula mempunyai insurans dan cukai jalan yang masih berkuatkuasa.
Tiada tangkapan dibuat setakat ini dan siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.































