
Satu ketika dulu jalan raya tempatan meriah dengan kenderaan Volkswagen seperti Polo, Polo Sedan, Golf dan beberapa lagi.
VW memerlukan produk baharu yang dapat mencetus semula fenomena dan mereka sedar mengenainya dan sedang giat membangunkan ID. Polo.
Model kompak ini berada di fasa akhir ujian dan pembangunan sebelum memasuki pengeluaran besar-besaran.
ID. Polo dijangka menjadi tonggak permulaan generasi baharu Volkswagen.
Bermula 2026
ID. Polo merupakan model elektrik pertama daripada empat model baharu Volkswagen yang akan dilancarkan dalam segmen kereta kecil dan kompak, bermula dari tahun 2026.
Model ini akan tampil secara rasmi dalam tempoh dalam beberapa bulan lagi.
Dengan harga permulaan di Eropah dijangka sekitar 25,000 euro (RM120,391), Volkswagen berhasrat menjadikan mobiliti elektrik lebih mudah diakses oleh orang ramai.
RM120 ribu besar untuk pasaran tempatan bagi model kompak sebegini namun angka 25,000 euro dilihat sebagai mampu milik di Eropah.
ID, Polo merupakan model pertama menampilkan bahasa reka bentuk baharu Pure Positive oleh Ketua Reka Bentuk, Andreas Mindt dan model pertama dalam sri ID. elektrik yang menggunakan nama Polo yang terkenal
Kuasa, Jarak dan ID. Polo GTI
ID. Polo akan ditawarkan dalam tiga pilihan output kuasa iaitu 85 kW (116 ps), 99 kW (135 PS), dan 155 kW (211 ps).
Versi yang lebih sporti, ID. Polo GTI dengan 166 kW (226 ps) akan menyusul kemudian.
Bateri dan Pengecasan:
- Versi 85 kW dan 99 kW didatangkan standard dengan bateri voltan tinggi LFP (Lithium Iron Phosphate) berkapasiti 37 kWj (bersih). Pengecasan pantas DC sehingga 90 kW.
- Versi 155 kW dan 166 kW dikuasakan bateri NMC (Nikel Mangan Kobalt) jenis sel bersatu PowerCo baharu, dengan kandungan tenaga 52 kWj (bersih). Bateri ini membolehkan jarak pemanduan anggaran sehingga 450 km dan pengecasan DC sehingga 130 kW.
Platform MEB+ dan Inovasi Pacuan
ID. Polo menampilkan sistem pacuan roda hadapan yang baru dibangunkan, berdasarkan platform Modular Electric Drive Matrix (MEB+) yang telah dipertingkatkan.
Sistem pacuan elektrik yang baharu dan sangat cekap ini mengurangkan kerumitan, bilangan komponen dan berat, sekali gus membantu Volkswagen mengurangkan kos dan penggunaan.
Sistem pacuan ini turut menawarkan kelebihan ruang yang jelas.
Modul utama merangkumi motor elektrik Volkswagen generasi baharu yang sangat cekap, dipanggil APP 290.
Bateri generasi baharu, iaitu sel bersatu PowerCo, disepadukan secara rata di bawah badan kenderaan.
Teknologi sel-ke-pek (cell-to-pack) digunakan, di mana sel-sel digabungkan terus ke dalam pek bateri tanpa perumah modul perantaraan.
Kaedah ini mengurangkan kos, saiz dan berat. Ia juga meningkatkan kepadatan tenaga sekitar 10%, yang bermaksud kereta boleh bergerak lebih jauh.
Dimensi dan Praktikaliti Ruang
Walaupun bersaiz seperti Polo sebelum ini, ID. Polo elektrik memberikan lebih banyak ruang kerana penggunaan modul pacuan kompak MEB+.
Dimensi ID. Polo:
- Panjang: 4,053 mm
- Lebar: 1,816 mm
- Tinggi: 1,530 mm
- Jarak Roda: 2,600 mm
Penumpang menikmati tambahan 19 mm panjang dalaman, terutamanya di bahagian belakang, serta peningkatan lebar dalaman dan ruang kepala.
Isipadu ruang bagasi meningkat sebanyak 24 peratus berbanding Polo terdahulu, dari 351 kepada 435 liter.
Dengan tempat duduk belakang dilipat ke bawah, isipadu muatan meningkat kepada 1,243 liter (berbanding 1,125 liter Polo sebelum ini), menjadikannya lebih serba boleh untuk kegunaan harian dan keluarga.
Sistem Bantuan dan Teknologi Pintar
Platform MEB+ membolehkan sistem bantuan generasi baharu digunakan pada ID. Polo.
Sistem Travel Assist yang dinaik taraf kini memberikan bantuan pemanduan sisi dan ke hadapan/belakang (atau longitudinal) serta pertukaran lorong di lebuh raya.
Ia juga menampilkan fungsi baharu dengan pengecaman lampu isyarat dan tanda berhenti.
Pembangunan dan Pengeluaran Global
Pembangunan ID. Polo merupakan projek kerjasama dalam Kumpulan Jenama Teras (Brand Group Core).
SEAT & CUPRA menerajui projek ini, manakala reka bentuk di Pusat Reka Bentuk Volkswagen di Wolfsburg.
Teknologi utama termasuk perisian, sistem bantuan, pacuan, casis dan stereng diperoleh daripada platform MEB+ Volkswagen.
ID. Polo akan dikeluarkan di kilang SEAT & CUPRA di Martorell, Sepanyol.



































