
Projek rintis sistem pembayaran tol terbuka berasaskan Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) oleh PLUS Malaysia kini boleh digunakan oleh kenderaan persendirian di plaza tol Hutan Kampung-Sungai Dua.
Menurut kenyataan media, PLUS Malaysia menyatakan pengguna berdaftar boleh memasuki dan keluar melalui mana-mana lorong tol di sembilan plaza tol iaitu Hutan Kampung, Alor Setar Utara, Alor Setar Selatan, Pendang, Gurun, Sungai Petani Utara, Sungai Petani Selatan, Bertam dan Sungai Dua.
“Fasa pertama melibatkan jarak 87.7km itu dijangka melancarkan aliran trafik di plaza tol serta mengurangkan risiko pertukaran lorong saat akhir.
“Sepanjang tempoh pelaksanaan projek rintis, palang tol kekal digunakan yang mana pengguna dinasihatkan untuk mengekalkan kelajuan antara 20-25kmj ketika melalui plaza tol tanpa perlu berhenti.

“Kamera ANPR yang dipasang di plaza tol akan mengesan nombor plat kenderaan bagi membolehkan caj tol diproses secara automatik melalui platform pembayaran mudah alih yang dipautkan kepada kaedah pembayaran pilihan pengguna,” menurut kenyataan.
Langkah awal ke arah pelaksanaan sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) itu disokong kecerdasan buatan (AI) yang mana ia boleh mengenal pasti kenderaan dalam pelbagai keadaan termasuk cuaca, kelajuan, sudut pandangan serta nombor plat tidak standard.
Bagi menggunakan ANPR, pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi mudah alih JustGO Malaysia, mendaftarkan kenderaan dan menghubungkan kaedah pembayaran pilihan (kad debit atau kredit) tanpa memerlukan peranti tambahan.
PLUS Malaysia berkata kaedah pembayaran tambahan seperti e-dompet dan perbankan dalam talian akan diperkenalkan dalam tempoh terdekat.
“Bahkan aplikasi JustGO Malaysia turut menyediakan kemudahan e-invois untuk memudahkan urusan pengguna. Sementara itu, kaedah pembayaran tol sedia ada seperti Touch ‘n Go, SmartTAG dan RFID masih boleh digunakan seperti biasa,” jelasnya.
Sejak September 2024, PLUS telah menjalankan ujian sistem pembayaran ANPR secara menyeluruh dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta konsesi lebuh raya lain.





























