
Sistem Y-AMT (Automated Manual Transmission) mula diperkenalkan pada jentera MT-09.
Namun berdasarkan rekod paten terbaharu, Yamaha sedang berusaha untuk meringkaskan lagi sistem Y-AMT sedia ada supaya dapat diperluaskan kepada lebih banyak model motosikal.
Lebih penting, harga jualan yang lebih mampu milik untuk kebanyakan pengguna.
Sistem Y-AMT sedia ada menggunakan sistem dua aktuator – satu untuk kawalan klac dan satu lagi untuk penukaran gear, sementara sistem quickshifter pula menguruskan penukaran gear ketika sedang bergerak.
Sistem Y-AMT terbaharu ini masih lagi menggunakan kotak gear yang biasa, namun perubahan utama tertumpu kepada bahagian klac.
Menurut laporan, jurutera Yamaha meringkaskan sistem Y-AMT dengan hanya menggunakan satu aktuator sahaja untuk kedua-dua tugas operasi klac dan penukaran gear.
Disebabkan sistem baharu ini tidak dapat menampung operasi secara serentak, jurutera Yamaha menggunakan teknologi klac sentrifugal yang sudah terbukti berkesan.
Dengan ini, klac hanya akan kembali mencengkam pada kelajuan enjin tertentu, membolehkan motosikal bergerak dari keadaan berhenti dan berhenti sepenuhnya tanpa menyebabkan enjin mati.
Sistem Y-AMT yang terbaharu ini bukan sahaja hadir dalam pakej yang lebih ringkas dan kecil, ia juga boleh diperluaskan kepada model-model motosikal berkapasiti kecil.
































