Utama Berita Automotif EON rangkul tujuh anugerah Proton Global 2026

EON rangkul tujuh anugerah Proton Global 2026

10

Edaran Otomobil Nasional (EON) Bhd memenangi tujuh anugerah pada Persidangan dan Anugerah Global Proton 2026.

EON – anak syarikat DRB-Hicom Bhd – berkata, pencapaian itu membuktikan pengiktirafan terhadap prestasi cemerlang, kepimpinan serta komitmen berterusan syarikat terhadap ‘kecemerlangan dalam jualan dan pengalaman pelanggan’ untuk sektor peruncitan automotif.

Majlis penyampaian anugerah diadakan baru-baru ini di M Resort & Hotel, Kuala Lumpur, menyaksikan EON dinamakan penerima Anugerah Jualan Korporat Terbaik Proton 2025.

Ia sekaligus menandakan kejayaan syarikat dalam menyediakan penyelesaian mobiliti yang disesuaikan untuk pelanggan korporat serta memperkukuh kehadiran jenama Proton dalam segmen perniagaan ke perniagaan (B2B).

EON juga menunjukkan prestasi runcit dan prestasi kumpulan yang kukuh apabila memenangi Anugerah Proton Edar Jualan Tertinggi (Kumpulan Pengedar).

Dalam segmen mobiliti elektrik pula, EON cemerlang dengan meraih pelbagai anugerah, termasuk Anugerah Utama Proton e.MAS – Platinum bagi jualan e.MAS tertinggi pada tahun 2025 di cawangan Glenmarie – selain Anugerah Jualan Terbaik Proton e.MAS.

Selain itu, EON mendapat Anugerah Utama Proton Edar – Diamond – bagi cawangan Damansara, yang mengiktiraf prestasi bilik pameran cemerlang, kepuasan pelanggan serta kecemerlangan operasi.

Komitmen EON dalam melahirkan bakat terbaik turut diketengahkan apabila wakil dari cawangan Glenmarie memenangi Anugerah Penasihat Jualan Terbaik Proton e.MAS, sekali gus membuktikan profesionalisme, pengetahuan produk dan pendekatan berteraskan pelanggan pasukan barisan hadapan EON.

Pada majlis sama, Ketua Pegawai Eksekutif EON Bhd, Akkbar Danial menerima Anugerah CEO 2025, yang mengiktiraf kepimpinan teladan, visi strategik serta sumbangan dalam meningkatkan piawaian sektor peruncitan automotif.

Akkbar menyertai EON pada tahun 2021 dan membawa bersamanya lebih 20 tahun pengalaman kepimpinan serta kepakaran dalam industri automotif.

Di bawah kepimpinannya, EON melaksanakan inisiatif pemasaran inovatif, memperkukuh penglibatan pelanggan, serta memacu kecemerlangan operasi di seluruh rangkaian pengedarnya di peringkat nasional.

“Kami amat berbesar hati menerima tujuh anugerah ini. Anugerah-anugerah ini mengiktiraf dedikasi, profesionalisme dan semangat pasukan kami dalam menyampaikan pengalaman luar biasa kepada pelanggan.

“Pencapaian ini pasti akan mendorong kami untuk terus memacu kecemerlangan dan inovasi di EON, khususnya melalui kerjasama erat kami dengan Proton,” katanya.

Persidangan dan Anugerah Global Proton adalah acara tahunan yang meraikan pencapaian rangkaian pengedar global Proton, dengan memberi pengiktirafan terhadap prestasi cemerlang dalam jualan, perkhidmatan selepas jualan, kepimpinan dan sumbangan korporat.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here