Utama Berita Automotif Proton S70 MC1 rasmi lancar, harga mula RM73,800

Proton S70 MC1 rasmi lancar, harga mula RM73,800

7

Proton rasmi melancarkan sedan S70 MC1 (2026) ke pasaran tempatan menerusi empat pilihan varian melibatkan :

  • 1.5TD Flagship X : RM94,800
  • 1.5TD Flagship : RM89,800
  • 1.5TD Premium : RM79,800
  • 1.5TD Executive : RM73,800 

*Walaupun menerima naik taraf, harga kekal tidak berubah

Sejak diperkenalkan, Proton S70 telah terjual lebih daripada 38,000 unit dan pengenalan model kemas kini itu seiring dengan kitaran produk agar kekal relevan di pasaran.

Prestasi enjin dipertingkatkan menerusi janakuasa i-GT 1.5 liter empat silinder turbo yang berkuasa 181PS dan tork 290Nm berbanding versi sebelumnya yang menggunakan 3-silinder dengan output 150PS dan tork 226Nm.

Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear dual klac 7-kelajuan bersama mod manual. Pecutan 0–100kmj mampu dicapai dalam tempoh 7.5 saat manakala penggunakan minyak adalah 5.7L/100km.

Dibangunkan bersama rakan global Proton iaitu Geely, sistem pacuan S70 menggabungkan teknologi turbo inersia rendah, pengurangan geseran dan getaran, serta ujian ketahanan menyeluruh bagi memastikan prestasi, kebolehpercayaan, kecekapan bahan api dan tahap NVH yang lebih baik.

Di samping itu, berikut penambahbaikan yang ditawarkan Proton S70 facelift :

  • Talaan pengendalian dalaman Proton yang mana naik taraf perisian Electronic Stability Control (ESC).
  • Kemas kini rekaan baharu lampu depan, rim aloi bersaiz 17-inci, lampu belakang bar LED penuh dengan kesan pencahayaan berirama serta kit aero baharu standard untuk varian tertinggi.
  • Kabin hitam kini didatangkan dengan suis tingkap iluminasi dengan kemasan perak, serta sentuhan rekaan yang lebih dinamik dan berorientasikan prestasi. 
  • Kini tersedia ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Demi ketenangan minda pemilik, S70 didatangkan dengan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Tahap 2 yang merangkumi 13 ciri keselamatan pintar termasuklah Autonomous Emergency Braking (AEB), Adaptive dan Intelligent Cruise Control (ACC & ICC), Lane Keep Assist (LKA), Lane Change Assist (LCA), Rear Cross Traffic Alert (RCTA) dan Intelligent High Beam Control (IHBC). 

Setiap pembelian Proton S70 didatangkan dengan Pakej Standard komprehensif iaitu :

  • Pro-Warranty* dengan jaminan 5-tahun tanpa had perbatuan serta enam kali servis buruh percuma.
  • Pro-Connect* yang menawarkan pakej data 5-tahun dengan 2GB sebulan bagi memastikan akses lancar kepada ciri ketersambungan sepanjang tempoh pemilikan.
  • Pro-Finance* yang menawarkan pilihan pembiayaan sehingga 9-tahun dengan kadar faedah bermula dari 2.25 peratus setahun.
  • Pro-Xchange* yang memberikan sokongan RM4,000 untuk pelupusan kenderaan tukar beli yang tidak lagi layak digunakan di jalan raya.

Bagi meningkatkan lagi pengalaman pemilikan, Proton menawarkan Pakej Pelancaran Khas kepada 2,000 pelanggan pertama yang mendaftarkan S70 sebelum 31 Mac depan.

Pakej itu merangkumi rebat sebanyak RM5,000 bersama tawaran menarik lain bagi meningkatkan nilai pemilikan keseluruhan.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here