
Sri Maju Group mengambil tindakan tegas menamatkan perkhidmatan seorang pemandu bas ekspresnya selepas rakaman video memaparkan insiden tidak senonoh bersama seorang wanita di dalam kenderaan itu tular di media sosial.
Dalam kenyataan rasmi dikeluarkan syarikat pengendali bas berkenaan mengesahkan pemandu itu merupakan kakitangan mereka dan kejadian itu berlaku ketika bas berkenaan sedang dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) ke Larkin, Johor Bahru pada Ahad.
Menurut syarikat itu, tindakan dalam video berkenaan disifatkan sebagai mengecewakan, membimbangkan serta melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan etika profesional pemandu.
“Keselamatan dan keselesaan penumpang adalah keutamaan kami. Perbuatan tersebut adalah pelanggaran serius dan tidak boleh diterima sama sekali,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, Sri Maju Group memaklumkan beberapa tindakan telah diambil termasuk membuat laporan polis, menamatkan perkhidmatan pemandu tersebut serta melaporkan insiden kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk siasatan lanjut.
Syarikat berkenaan turut memohon maaf kepada semua penumpang dan orang awam yang terkesan selain menegaskan komitmen mereka untuk memperketatkan sistem pemantauan termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dalam semua bas.
“Sri Maju Group tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang perlakuan yang boleh mengancam keselamatan penumpang,” katanya lagi.
Syarikat itu turut menjelaskan langkah penambahbaikan sedang dilaksanakan bagi memastikan insiden seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.
































