
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan berlaku perselisihan faham antara orang awam dan petugas kaunter jabatan berkenaan menerusi video yang dimuat naik akaun TikTok Irfan Zaky@silento_91.
Menurut kenyataan, video yang tular itu mengandungi dakwaan palsu dan dipercayai kandungan telah dijana menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi menghasilkan gambaran seolah-olah insiden itu berlaku di JPJ.
“Kandungan tersebut telah mencetuskan kekeliruan, provokasi serta mencemarkan imej dan reputasi jabatan.
“Hasil semakan awal mendapati video tersebut telah dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan menggunakan elemen yang menyerupai identiti rasmi kerajaan, termasuk susun atur pejabat, paparan visual serta penggunaan nama dan logo JPJ,” jelasnya.
Justeru itu, pihak JPJ memandang serius penyebaran kandungan palsu berkenaan dan membuat laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bagi tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, tidak mudah mempercayai atau menyebarkan sebarang kandungan yang belum disahkan kesahihannya, serta membuat semakan hanya melalui saluran komunikasi rasmi JPJ bagi mengelakkan kekeliruan dan penyebaran maklumat palsu,” menurut kenyataan.

































