
Siapa sangka, pasukan Polis Dubai yang sangat terkenal dengan barisan supercar dan jentera mewah eksotik kini memilih sebuah SUV buatan China sebagai jentera peronda.
Model yang dipilih merupakan sebuah SUV plug-in hybrid Denza B8, SUV sama yang turut dilancarkan di pasaran Malaysia beberapa bulan lepas.
Denza B8 merupakan sebahagian daripada armada kenderaan rondaan generasi kedua Ghiath Smart Patrol yang membawakan pelbagai teknologi maju termasuklah kecerdasan buatan (AI) untuk memantapkan lagi operasi kepolisan dan keselamatan.
Secara visual, Denza B8 ini mendapat kemasan liveri rasmi Polis Dubai, selain kelengkapan seperti lampu mata arah LED.
Denza B8 (atau nama lainnya Fangchengbao 8 di China) dipacu oleh unit rangkaian kuasa DMO Super Hybrid yang terdiri daripada enjin 2.0L turbo dan dua motor elektrik.
Kuasa keseluruhan mencecah 738 hp dan 760 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.8 saat.
Buat masa ini, pihak berkuasa tidak menyatakan jumlah unit yang akan menyertai armada tersebut.
Apa yang pasti, Denza B8 ini dibekalkan oleh Al-Futtaim, pengedar eksklusif BYD di UAE.
Menurut Leftenan Jeneral Abdulla Khalifa Al-Marri, “Kerjasama strategik ini mencerminkan komitmen kami untuk memanfaatkan inovasi bagi membangunkan penyelesaian keselamatan mampan yang menyokong visi masa depan Dubai dan membina ekosistem pengangkutan keselamatan yang lebih pintar, cekap dan lestari.”



































