Triumph Motorcycles Malaysia secara rasmi melancarkan dua model terbaharu dalam keluarga 400 Series, iaitu Tracker 400 dan Thruxton 400.
Kehadiran kedua-dua model memperluaskan pilihan motosikal moden klasik Triumph di Malaysia, sekali gus menawarkan karakter tunggangan berbeza mengikut cita rasa penunggang, daripada gaya flat track hinggalah ke cafe racer.
![]()
Dengan pelancaran ini, barisan Triumph 400 Series kini lengkap dengan lima model :
- Speed 400
- Scrambler 400 X
- Scrambler 400 XC
- Tracker 400
- Thruxton 400
Tracker 400 dan Thruxton 400 tidak hanya tampil dengan rekaan baharu, bahkan kedua-duanya menerima versi terkini enjin TR-Series 398cc, satu silinder, DOHC penyejukan cecair.
![]()
![]()
Enjin itu menghasilkan 42 PS pada 9,000 rpm dan 37.5 Nm pada 7,500 rpm – iaitu sekitar lima peratus lebih tinggi berbanding Speed 400.
Triumph turut meningkatkan had putaran enjin bagi memberikan prestasi lebih bertenaga pada rpm tinggi, tanpa menjejaskan penghantaran tork pada rpm rendah yang menjadi identiti enjin siri TR.
Kelengkapan standard turut merangkumi :
- pendikit ride-by-wire
- transmisi 6-kelajuan
- klac slip & assist
- ABS dwi-saluran
- sistem kawalan cengkaman
Tracker 400 membawakan identiti motosikal flat track yang jarang ditawarkan dalam segmen 400cc.
Berbeza dengan Speed 400, Tracker 400 menggunakan hendal lebih lebar dan kedudukan perehat kaki yang diubah bagi menghasilkan posisi tunggangan lebih tegak, aktif dan memberikan kawalan lebih yakin.
Suspensi hadapan jenis USD 43mm dengan jarak gerak 140mm dipadankan bersama tayar Pirelli MT60 RS bagi menyerlahkan imej jentera lumba dirt oval yang diadaptasi untuk jalan raya.
![]()
![]()
![]()
Elemen eksklusif lain termasuk :
- tangki berbentuk petak
- nombor “400” pada sisi,
- flyscreen kecil
- seat cowl belakang
- rekaan rim baharu
- grafik diinspirasikan daripada jentera flat track
Secara keseluruhannya, Tracker 400 boleh dianggap sebagai versi Speed 400 yang lebih sporty, lebih lasak dan lebih menyerlah dari segi gaya.
Nama Thruxton sememangnya sinonim dengan sejarah Triumph. Kini jenama British itu menghidupkan semula nama ikonik tersebut menerusi Thruxton 400 yang menawarkan pengalaman cafe racer dalam pakej lebih mampu dimiliki.
Model ini tampil sporty menerusi :
- fairing hadapan gaya cafe racer
- hendal clip-on
- cermin bar-end
- seat cowl berbentuk bullet
- kedudukan perehat kaki lebih ke belakang
Bagi meningkatkan pengendalian, Thruxton 400 dipadankan dengan tayar Pirelli Diablo Rosso IV berorientasikan prestasi jalan raya bersama talaan casis khas untuk kawalan lebih tajam ketika mengambil selekoh.
![]()
![]()
Ringkasnya, Thruxton 400 merupakan model paling sporty dalam keluarga Triumph 400 Series setakat ini.
Triumph Tracker 400 ditawarkan pada harga bermula RM27,900, manakala Triumph Thruxton 400 pada harga bermula RM29,900.
![]()
Harga tersebut tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insurans.
Kedua-dua model berada di semua pengedar sah Triumph di seluruh negara bermula Ogos 2026.






























