
Mercedes-Benz memperkenalkan C-Class Sedan dan C-Class Estate baharu dengan naik taraf teknologi paling menyeluruh dalam sejarah model itu.
Model baharu ini mengekalkan reka bentuk sporti kabin berkualiti tinggi dan enjin pembakaran berteknologi elektrifikasi dengan sistem digital serta sistem bantuan pemanduan yang dipertingkatkan.
Mercedes-Benz C-Class yang diperkenalkan sejak 1982 telah mencatat lebih 12 juta unit jualan di serata dunia.
Reka bentuk C-Class baharu
Mercedes-Benz memberikan C-Class baharu penampilan yang lebih menyerlah melalui perubahan pada bahagian depan dan belakang.
Rekaan kali ini tidak seradikal seperti model-model baharu yang lain.
Dari segi aerodinamik, pekali seretan bermula daripada Cd 0.24 untuk sedan dan 0.26 untuk Estate.
Antara ciri baharu ialah:
- Gril radiator baharu dengan bingkai krom dan kontur bercahaya.
- Reka bentuk lampu utama bintang berkembar.
- Lampu belakang dengan reka bentuk bintang untuk sedan.
- Bampar dengan bentuk lebih berukir.
- Gril dengan orientasi lebih menegak.
- Corak bintang krom tiga dimensi pada gril.
- Bintang tengah yang turut boleh diterangi bergantung kepada pasaran.
- Jalur LED pada bingkai krom gril.
- Panel hitam berkilat yang menghubungkan gril dan lampu utama secara visual.
Lampu projektor turut disepadukan pada bahagian sisi ambang pintu. Apabila pintu dibuka, sistem memancarkan corak Mercedes-Benz animasi ke permukaan jalan.
Cermin sisi pula boleh memancarkan logo bintang Mercedes-Benz berhampiran kenderaan.
C-Class baharu turut menerima rim 18 inci baharu, selain pilihan rim 17 hingga 19 inci. Dua rim AMG 19 inci turut ditawarkan.
Dua warna baharu ialah Lavender Silver metallic dan Moody Sky Grey metallic.
Buat pertama kali, AMG Line Plus tersedia untuk C-Class.
Pakej ini menambah elemen seperti kemasan ekzos dan spoiler lip hitam berkilat, Night Package, kerusi sport dengan jahitan merah serta tali pinggang keselamatan merah.
Kabin lebih digital
C-Class baharu menerima kokpit digital dengan skrin instrumen 12.3 inci beresolusi tinggi.
Skrin media berformat potret berukuran 11.9 inci pula digunakan untuk mengawal fungsi kenderaan.
Stereng pelbagai fungsi baharu mengekalkan konsep kawalan dengan suis rocker untuk penghad dan DISTRONIC serta tombol kawalan bagi pelarasan kelantangan.
Mercedes-Benz turut menambah elemen dalaman baharu:
- Dua warna balutan baharu.
- Tiga elemen riasan baharu.
- Beechbrown untuk ARTICO, kulit dan Nappa.
- Cherry Red untuk tempat duduk ARTICO.
- Jahitan moccasin pada bahagian sisi tempat duduk kulit AMG Line.
- Kun alur dan jahitan hiasan pada tempat duduk Nappa.
- Kemasan birch kayu liang terbuka berwarna cerah.
- Kemasan birch kayu anthracite.
- Kemasan fabrik campuran logam perak berkilat.
Sistem pencahayaan suasana menawarkan 64 warna dan 10 skema warna. Kecerahan boleh dilaraskan dalam lima tahap dengan empat zon pemalapan.
MBUX dan MB.OS
C-Class baharu menggunakan Mercedes-Benz Operating System atau MB.OS.
Sistem ini menyokong kemas kini perisian secara over-the-air untuk pelbagai fungsi kenderaan.
Pelanggan juga boleh menambah dan mengaktifkan Digital Extras selepas pembelian melalui Mercedes-Benz Store dan Mercedes-Benz App.
Penawaran Digital Extras merangkumi hiburan, navigasi, pengecasan, GUARD 360° serta sistem bantuan pemanduan dan parkir MB.DRIVE.
Penawaran hiburan ketika ini merangkumi lebih 40 aplikasi dalam kategori seperti audio, video, permainan dan perkhidmatan lain.
MBUX Virtual Assistant dengan AI
Generasi keempat MBUX tampil dengan MBUX Virtual Assistant berasaskan AI.
Sistem ini menggabungkan AI daripada ChatGPT, Microsoft Bing dan Google Gemini melalui pendekatan multi-agent.
Ia boleh menjawab soalan umum, membantu dengan navigasi dan tarikan pelancongan, serta memberikan maklumat tentang harga saham, pertukaran mata wang dan cuaca.
Pembantu maya itu juga boleh mencari lagu berdasarkan perbualan dan terus memulakan muzik tersebut.
Untuk navigasi, C-Class menggunakan Google Maps bersama MBUX Surround Navigation.
Automotive AI Agent daripada Google Cloud pula membolehkan MBUX Virtual Assistant memberikan maklumat berkaitan destinasi, tempat menarik, tempat letak kereta dan stesen pengecasan.
Sistem audio Burmester
Sistem bunyi Burmester 3D surround sound dengan Dolby Atmos ditawarkan sebagai kelengkapan pilihan.
Ia mempunyai:
- 15 pembesar suara.
- Penguat 710 watt.
- Pelarasan kesan ruang 3D dalam 10 tahap.
- Pilihan untuk memfokuskan bunyi kepada barisan tempat duduk pertama atau kedua.
Sistem itu turut menggunakan pengesanan pengikat tali pinggang untuk melaraskan fokus bunyi berdasarkan jumlah penumpang.
Keselesaan tempat duduk dan kualiti udara
Kerusi multi-contour pilihan menawarkan beberapa fungsi urutan dan sokongan ergonomik.
Ia menggunakan kusyen aktif boleh kembung pada bahagian sisi serta sokongan lumbar empat hala.
Pakej AIR-BALANCE pula menawarkan pengalaman pewangi yang diperibadikan dan sistem penapisan udara.
Sistem penapisan menggunakan penapis habuk halus dengan karbon aktif untuk membersihkan udara luar serta menyerap sulfur dioksida, nitrogen oksida dan hidrokarbon aromatik.
C-Class Estate lebih praktikal
C-Class Estate menawarkan ruang kargo sehingga 490 liter.
Dengan tempat duduk belakang dilipat, kapasiti meningkat kepada 1,510 liter.
Tempat duduk belakang menggunakan konfigurasi 40/20/40 sebagai standard dan boleh dilipat secara individu.
Tailgate EASY-PACK juga menjadi kelengkapan standard dan boleh dibuka atau ditutup melalui kunci kenderaan, suis pada pintu pemandu atau pemegang pada tailgate.
Penutup ruang kargo dan jaring pemisah pula mempunyai reka bentuk dua bahagian dengan setiap satu disimpan dalam kaset sendiri.
Enjin petrol dan diesel
Mercedes-Benz menawarkan enjin petrol dan diesel empat silinder yang telah dipertingkatkan.
Kesemua enjin menggunakan teknologi hibrid ringan dengan Integrated Starter-Generator generasi kedua atau ISG 2.0.
Sistem 48 volt itu boleh memberikan tambahan sehingga 17 kW kuasa dan 205 Nm tork.
ISG 2.0 turut membantu enjin pada julat putaran rendah serta menyokong fungsi seperti coasting dan pemulihan tenaga.
Enjin petrol M 254 EVO empat silinder 2.0 liter menerima electric auxiliary compressor baharu.
Pemampat elektrik 48 volt itu membantu menghasilkan tork lebih kuat pada putaran enjin rendah dan mengurangkan turbo lag.
Dari segi output, C 200 menghasilkan 204 hp dan 300 Nm tork. Bagi C 250 pula, jentera ini menjana 160 kW (218 hp) bersama hantaran 320 Nm.
Sementara itu, varian C 300 tampil lebih berkuasa dengan 258 hp serta daya kilas 400 Nm.
Enjin diesel OM 654 EVO pula ditawarkan dengan dua output iaitu 163 hp dan 200 hp.
Enjin ini menggunakan pengecas turbo dengan variable turbine geometry serta sistem suntikan terus common-rail pada tekanan 2,200 bar.
Ia juga serasi dengan bahan api bio HVO100, B10 dan B20.
C-Class plug-in hybrid
C-Class plug-in hybrid menggabungkan enjin petrol empat silinder dengan motor elektrik dan ditawarkan dengan pacuan roda belakang atau semua roda.
C 400 e 4MATIC Sedan dan C 400 e 4MATIC Estate menghasilkan sehingga 395 hp dan 650 Nm.
Bateri voltan tinggi mempunyai kapasiti tenaga boleh guna 19.53 kWj.
Jarak pemanduan elektrik pula mencapai sehingga 100 km mengikut WLTP.
Pengecasan AC boleh dilakukan pada kadar sehingga 11 kW, manakala pengecasan DC boleh mencapai sehingga 55 kW.
Casis dipertingkatkan
Mercedes-Benz turut menala semula casis C-Class untuk meningkatkan kelincahan tanpa mengorbankan keselesaan perjalanan jarak jauh.
Sambungan yang lebih tegar dan talaan baharu penyerap hentak adaptif mengurangkan olengan badan serta memberikan tindak balas lebih terus dan tepat.
Suspensi depan menggunakan empat lengan kawalan (control arm) bagi setiap roda.
Di belakang, sistem pelbagai pautab dengan lima pautan digunakan untuk mengawal pergerakan roda dan memastikan kestabilan ketika pemanduan lurus.
Pembelokan roda belakang
C-Class baharu turut menawarkan sistem pembelokan gandar belakang.
Dengan sudut stereng sehingga 2.5 darjah, sistem ini mengurangkan diameter pusingan sebanyak 43 sentimeter kepada 10.64 meter.
Pada kelajuan bawah 100 km/j, roda belakang membelok berlawanan arah dengan roda hadapan untuk meningkatkan kebolehgerakan.
Pada kelajuan melebihi 100 km/j, roda belakang membelok dalam arah yang sama dengan roda hadapan bagi meningkatkan kestabilan.
Kabin lebih senyap
Mercedes-Benz turut meningkatkan penebat bunyi dan getaran.
Cermin sisi baharu mempunyai tapak yang dioptimumkan dari aspek aerodinamik dan akustik.
Reka bentuk penutup but, spoiler dan lampu belakang turut membantu mengurangkan turbulens serta bunyi angin.
Sistem ekzos yang dipasang dalam konfigurasi seperti sangkar turut mengurangkan pemindahan getaran.
Navigasi dengan sokongan visual
MBUX Surround Navigation menggabungkan paparan masa nyata 3D persekitaran dengan panduan laluan dan paparan sistem bantuan pemanduan.
Kenderaan lain, basikal, motosikal dan pejalan kaki turut boleh dipaparkan.
Buat pertama kali, sistem navigasi augmented reality daripada S-Class dan EQS turut tersedia untuk C-Class.
Sistem ini boleh memaparkan maklumat seperti kelajuan, amaran dan had laju melalui papar pandu, selain maklumat tiga dimensi yang membantu ketika melakukan gerakan rumit.
Sistem bantuan pemanduan MB.DRIVE
C-Class baharu boleh dilengkapi sehingga 10 kamera, lima sensor radar dan 12 sensor ultrasonik.
Sensor-sensor ini bekerjasama dengan unit kawalan yang menggunakan MB.OS sebagai platform perisian utama.
Bergantung kepada pakej yang dipilih, MB.DRIVE boleh membantu dalam:
- Stereng.
- Kekal dalam lorong.
- Kawalan jarak.
- Brek.
- Pecutan.
- Pertukaran lorong.
- Parkir.
- Pergerakan ketika mengundur.
MB.DRIVE ASSIST menawarkan pembantu pertukaran lorong automatik melalui satu sentuhan pada tuil signal.
MB.DRIVE ASSIST PLUS pula boleh membantu membrek kenderaan sebelum tanda berhenti dan lampu isyarat merah.
MB.DRIVE ASSIST PRO menawarkan pengalaman pemanduan dari satu titik ke satu titik, termasuk dalam trafik bandar yang sesak.
Ciri ini pada awalnya dirancang untuk pasaran China.
Sistem bantuan gerakan boleh membrek kenderaan sehingga berhenti ketika mengundur jika mengesan risiko pelanggaran.
Sistem ini turut memberi amaran terhadap halangan dan trafik melintas ketika keluar mengundur dari ruang parkir.
Trailer maneuvering assistant pula memberikan bantuan stereng ketika menarik treler, manakala articulation angle protection boleh membantu mengelakkan pelanggaran antara kenderaan dan treler.
Pakej parkir dengan kamera 360 darjah turut tersedia.
Digital Extra baharu bernama Reverse Function pula membolehkan kenderaan mengundur secara automatik melalui sebahagian laluan yang baru dilalui, dalam keadaan tertentu.
DIGITAL LIGHT dengan micro-LED
C-Class baharu boleh dilengkapi generasi DIGITAL LIGHT yang menggunakan teknologi micro-LED.
Sistem ini meningkatkan medan pencahayaan resolusi tinggi sekitar 40 peratus.
Pada masa sama, penggunaan tenaga dikurangkan sehingga 50 peratus berbanding sistem terdahulu.
Sistem DIGITAL LIGHT kini disepadukan dengan MB.OS.
Fungsi ULTRA RANGE high beam boleh dilaraskan secara dinamik untuk memberikan pencahayaan lebih optimum.
Fungsi partial high beam pula membantu mengesan pengguna jalan raya yang kurang diterangi tanpa menyilaukan pengguna lain.
Lampu selekoh turut dilaraskan mengikut bentuk jalan.
Harga Mercedes-Benz C-Class 2027
Tempahan Mercedes-Benz C-Class baharu dibuka di Jerman pada 18 Ogos 2026.
Harga C 200 Sedan bermula daripada €48,844 (RM229,371), termasuk VAT.



















































