
Volvo Car Malaysia mengesahkan model Volvo EX90 versi kemas kini 2026 bakal dilancarkan untuk pasaran tempatan tidak lama lagi.
SUV elektrik 7-tempat duduk itu menerima naik taraf besar pada sistem elektrikal dan komputer, menjadikannya EX90 2026 paling berkuasa dan terpantas setakat ini.
Model global ini mula diperkenalkan pada September tahun lalu dan kini bersedia untuk dibawa ke pasaran tempatan.
Perubahan paling signifikan pada EX90 2026 adalah peralihan kepada asas elektrikal 800-volt daripada sistem 400-volt sebelum ini.
Keputusan itu membawa 3 kelebihan utama:
- Pengecasan Ultra Pantas – menyokong pengecas pantas DC sehingga 350 kW, berbanding 250 kW sebelum ini. Bateri boleh dicas dari 10 peratus ke 80 peratus dalam masa hanya 22 minit — 8 minit lebih cepat daripada versi sedia ada
- Tambah Jarak Dalam Masa Singkat – Menggunakan pengecas DC berkuasa, EX90 kini boleh menambah jarak gerak sehingga 250 km dalam 10 minit sahaja. Sebelum ini, 180 km dalam 10 minit
- Penghantaran Kuasa Lebih Efisien – Sistem 800-volt membolehkan lebih banyak kuasa dihantar dari bateri ke motor elektrik. Pendawaian dalaman juga lebih ringan kerana menggunakan wayar yang lebih halus
- Bateri kekal pada kapasiti 111 kWh dengan jarak gerak WLTP dijangka kekal sekitar 623 km
- Pengecasan AC kekal pada kadar maksimum 11 kW
Volvo juga memaklumkan varian tertinggi Twin Motor Performance untuk pasaran Malaysia akan menghasilkan 680 PS dan 870 Nm tork.
Berbanding model CBU sedia ada yang dijual pada harga RM442,888 dengan kuasa 517 PS dan 910 Nm, versi baharu ini mempunyai 163 PS lebih tinggi.
Hasilnya, pecutan 0-100 km/j kini dipendekkan kepada 4.2 saat, berbanding 4.9 saat sebelum ini.
Kelajuan maksimum kekal dihadkan kepada 180 km/j selari dengan dasar keselamatan Volvo.
EX90 2026 turut menerima komputer utama generasi baharu yang menggunakan cip berkembar Nvidia Drive AGX Orin — teknologi yang sama digunakan pada sedan elektrik ES90.
Sistem AI termaju ini meningkatkan pemprosesan data untuk fungsi keselamatan dan bantuan pemandu, menjadikan EX90 lebih pintar dan responsif.
Dari segi rekaan luaran, EX90 2026 mengekalkan penampilan yang sama seperti versi sedia ada.
Buat masa ini, EX90 yang dijual di Malaysia adalah model CBU import sepenuhnya, namun model kemas kini 2026 ini dijangka akan dipasang secara CKD di Kilang Volvo Shah Alam bersama-sama sedan ES90 – seperti dilaporkan pada Oktober 2025.
Langkah ini dijangka dapat menawarkan harga lebih kompetitif kepada pelanggan.
Volvo Car Malaysia telah membuka Pendaftaran Minat (ROI) untuk EX90 2026.
Sebagai tanda penghargaan, 100 pelanggan pertama yang membuat tempahan akan menerima ganjaran istimewa.
Maklumat lanjut mengenai harga dan spesifikasi penuh akan diumumkan menjelang pelancaran rasmi.
































