
Aston Martin sekali lagi mengumumkan kerjasama dengan Brough Superior dengan menghasilkan model jalanan pertama dinamakan sebagai AMB 002 Roadster.
Model ini merupakan susulan kepada AMB 001 dan AMB 001 Pro yang hanya dihasilkan khusus untuk kegunaan dalam litar.
AMB 002 digambarkan sebagai sebuah jentera yang ringan dan dibina untuk keseronokan maksimum di jalan raya.
Dengan penggunaan bahan ringan gentian karbon dan kerangka yang dimesin daripada seketul billet aluminium, berat keseluruhan jentera ini cuma 190 kg sahaja.
Ia dipacu enjin v-twin 1,083 cc yang mampu menjana kuasa sekitar 130 hp dan 110 Nm.
Kelajuan maksimum tidak didedahkan, namun enjin ini direka untuk menyalurkan tork kuat pada putaran enjin rendah dan sederhana, serta puncak kuasa yang lebih mengujakan.
Suspensi depan menggunakan fork Fior double-wishbone menggantikan fork konvensional, di mana binaannya memisahkan daya stereng dan brek sambil mengekalkan geometri depan yang tepat.
Rekaan keseluruhan jentera ini banyak disumbangkan oleh Studio Rekaan Aston Martin yang terlibat secara langsung.
Antara elemen automotif yang paling jelas ketara ialah side strake dengan logo Aston Martin, diikuti sistem ekzos berkembar dengan heat sink berjalur yang diinspirasikan daripada model DB12 S, DBX S dan Vanquish.
Di bahagian belakang, terdapat lencana Aston Martin ‘terapung’ yang diapit bilah lampu LED berbentuk V yang meminjam gaya DNA Vulcan, Valkyrie dan Valhalla.
Bahagian lain yang menonjol termasuk badan, fender dan tangki minyak gentian karbon, kluster instrumen digital bulat, butang penghidup, serta pad tempat duduk kulit buatan tangan.
Brough Superior kini menerima tempahan, dan penghantaran pertama dijadualkan bermula suku ketiga 2027.
Produksi jentera ini sayang sekali dihadkan kepada 300 unit sahaja.


































