Hafizh kumpul mata berharga di Buriram

1251

Hafizh Syahrin Abdullah, pelumba MotoGP negara berjaya meraih mata berharga di Perlumbaan MotoGP Buriram semalam. Hafizh berjaya mendapat 4 mata dan berada di tempat ke-12 sejak pusingan di Republik Czech, Ogos lalu.

Hafizh bermula di petak ke-18 berjaya melonjak dan memberikan tunggangan terpuji dengan melintasi garisan penamat di tempat ke-12.

Pelumba negara yang terkenal dengan gelaran The Pescao itu hanya ketinggalan 17.691 saat (s) di belakang juara perlumbaan Marc Marquez. Hafizh berjaya menamatkan perlumbaan dengan mencatat masa 39 minit 55.722s untuk memperoleh empat mata.



Paling penting, dia muncul pelumba baharu terbaik minggu ini.  Dia berjaya mengetepikan pendahulu keseluruhan Franco Morbidelli yang menamatkan saingan di tempat ke-14.

Hafizh mengakui dia bergelut untuk menyesuaikan diri dengan suhu jentera Monster Yamaha Tech3 yang ditungganinya pada awal perlumbaan.

“Saya sangat gembira kerana kembali dapat meraih mata. Saya sentiasa menghuni tempat ke-18 bermula dari sesi latihan bebas pertama hingga ujian masa, dan berasa sedikit kecewa. Bagaimanapun, saya tidak berputus asa.”

“Saya bekerja keras dengan pasukan dan mereka mempercayai saya, di mana saya sangat memerlukannya. Pada awal perlumbaan, jentera saya terlalu panas.

Hafizh Syahrin
Hafizh Syahrin

“Suhu minyak terlalu panas dan saya tidak merasai kekuatan jentera saya. Saya cuba untuk menyesuaikan diri dan mencari jalan untuk menyelesaikannya. Saya mengambil keputusan untuk tidak menghampiri pelumba lain dengan terlalu dekat.”

“Pada awalnya saya berjaya memintas Takaaki Nakagami dan merasakan mampu untuk mengejar Morbidelli. Akhirnya saya berjaya mengatasinya dan cuba untuk mengekalkan rentak tunggangan.”

Hafizh ketinggalan lima mata dengan Morbidelli yang masih lagi mendahului kedudukan keseluruhan pelumba baharu terbaik dengan 33 mata.

Hafizh Syahrin perlu bekerja keras

“Saya masih perlu bekerja keras untuk pusingan seterusnya dan cuba untuk merapatkan jurang dengan Morbidelli,” tambahnya lagi.

Pelumba Finland, Niki Tuuli (PETRONAS Sprinta Racing) beraksi cemerlang untuk meraih mata pertamanya selepas menduduki tempat ke-15 dalam saingan Moto2. Manakala Khairul Idham Pawi (Idemitsu Honda Team Asia) berada di tempat ke-21.

Adam Norrodin (PETRONAS Sprinta Racing) juga berjaya meraih mata apabila menduduki tempat ke-15 dalam perlumbaan Moto3. Manakala rakan sepasukannya, Ayumi Sasaki gagal menamatkan saingan kerana terbabit dalam kemalangan.

Perlumbaan seterusnya bakal berlangsung dari 19 hingga 21 Oktober di Litar Motegi, Jepun.

1 KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here