BMW Malaysia perkenal empat motosikal untuk gaya hidup berbeza

2776

BMW Malaysia hari ini memperkenalkan empat motosikal iaitu F 750 GS, R 1250 RT, C 400 X dan C 400 GT. Kesemua jentera ini adalah untuk gaya tunggangan berbeza seperti pengembaran, penjelajahan dan skuter urban.

Bercakap di majlis pelancaran, Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata, BMW Motorrad telah mencatat pencapaian yang mantap saban tahun, lebih daripada seribu motosikal berjaya diserahkan kepada pemilik baharu pada tahun 2018, melakar pertumbuhan sebanyak 7 peratus berbanding tahun sebelumnya.



Terokai bandar dengan C 400 X dan C 400 GT

Harga

C 400 X: RM44,500

C 400 GT: RM48,500

BMW C 400 X merupakan skuter bersaiz sederhana untuk tunggangan dalam bandar. Rekabentuk bertemakan V memberikannya penampilan dinamik dari depan. Terdapat ciri baharu Keyless Ride yang menyaksikan pengunci stereng, pencucuh, flap pengisi bahan bakar serta peranti antikecurian diaktifkan menerusi transponder bersepadu pada kunci.

C 400 X dilengkapi tetapan mudguard depan, komponen trim jelas, lampu depan LED besar serta konsep ruang simpanan pintar dan Flexcase di bawah tempat duduk.

BMW C 400 GT pula ialah varian Gran Turismo bagi C 400 X, atau untuk tunggangan jarak lebih jauh. Ia juga diberikan teknologi lampu LED, tempat duduk ergonomik dengan penyandar berasingan untuk penumpang depan dan belakang, dan perisai angin bersaiz lebih tinggi.

Fungsi keterhubungan tetap diketengahkan untuk kemudahan tunggangan sama ada di bandar atau semasa menjelajah. BMW Motorrad Multi-Controller membolehkan penunggang mengakses fungsi kenderaan dan keterhubungan, manakala Connectivity menampilkan kluster instrumen dalam bentuk skrin TFT 6.5-inci berwarna.

Kedua-dua C 400 X dan C 400 GT dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 350cc dengan teknologi pengasingan getaran, Automatic Stability Control dan transmisi CVT. Enjin ini menjana 34hp pada 7,500rpm dan 35Nm pada 6,000rpm.

Ciri keselamatan pada C 400 X dan C 400 GT adalah Automatic Stability Control, sistem kawalan anti-gelincir dan ABS dengan cakera berkembar di depan dan tunggal di belakang.

Tiga warna ditawarkan untuk setiap model:

C 400 X – Zenith Blue, Black Storm dan Alpine White

C400 GT – Alpine White, Moonwalk Grey dan Black Storm

BMW R 1250 RT khas untuk penjelajahan

Harga: RM139,500

BMW R 1250 RT menggunakan enjin boxer yang telah menjadi identiti model GS dan RT sejak 35 tahun. Dimantapkan untuk 2019, enjin ini ditingkatkan kapasitinya dari 1,170cc ke 1,254cc. Outputnya kini adalah 136hp dan 143Nm tork.

Enjin canggih ini mendapat teknologi BMW Shiftcam yang membolehkan variasi bagi pemasaan injap serta lejang dibuat menerusi saluran masuk. Perubahan teknikal yang lain ke atas enjin berkenaan berkait dengan pacuan aci sesondol – kini dilengkapi dengan rantai bergigi (sebelum ini terdiri daripada rantai bertorak).

Untuk keselamatan, penunggang akan dibantu oleh sistem keselamatan pasif dan aktif terkini seperti Automatic Stability Control, ABS Pro, Hill Start Control, Riding Modes Pro, Dynamic Traction Control, Hill Start Control Pro dan Dynamic Brake Assistant.

Terdapat juga Dynamic Electronic Suspension Adjustment yang membolehkan adaptasi penalaan terperinci dibuat untuk pelbagai keadaan tunggangan.

BMW R 1250 RT boleh dimiliki dengan pakej individu seperti Comfort, Touring, Dynamic dan Lights. Tiga warna ditawarkan iaitu Mars Red, Carbon Black dan Alpine White.

Pengembaraan meyakinkan dengan BMW F 750 GS baharu

Harga: RM71,500

BMW F 750 GS dirumus khas untuk penunggang yang gemarkan sensasi dan rekabentuk jelajah ‘enduro’. Ini digabungkan dengan paras tempat duduk rendah, ketersediaan kuasa yang tinggi dan kualiti keseluruhan.

Rekabentuk 750 GS mendemonstrasikan DNA jentera GS yang jelas dengan tangki depan menonjol dan seksyen belakang yang langsing.

Kuasa pacuan adalah sebanyak 77hp dari enjin 2-silinder 853cc yang dijuruterakan semula. Enjin ini dipadankan dengan transmisi manual 6-kelajuan.

Untuk menyesuaikan motosikal dengan pelbagai keadaan tunggangan, mod-mod boleh dipilih oleh penunggang seperti Road dan Rain. Bergantung kepada mod dilipih, aspek-aspek seperti pendikit, Automatic Stability Control, Dynamic Traction Control dan ABS akan ditala kepada maklum balas berbeza.

Keterhubungan disokong oleh fungsi Connectivity dengan skrin TFT 6.5-inci berwarna. Tiga warna boleh dipilih untuk motosikal F 750 GS: Austin Yellow Metallic, Style Exclusive Stereo Metallic Matt dan Light White.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here