Thailand gamit memori indah Hafizh Syahrin

2513

Litar Antarabangsa Chang di Buriram, Thailand gamit memori indah Hafizh Syahrin Abdullah dan ia secara tidak langsung memberi aura positif buat pelumba MotoGP negara itu mengharungi saingan seterusnya di sana, minggu ini. 

“Akhirnya kami tiba di Asia, dan ia sesuatu yang dinantikan. Saya harap boleh mengharungi perlumbaan yang baik di Thailand untuk peminat di sana,” kata pelumba Red Bull KTM Tech3 itu. 



“Saya mempunyai beberapa memori indah daripada trek ini, yang pertamanya perlumbaan tahun lalu agak baik dan saya menunggang (jentera) MotoGP pertama kali dalam hidup saya di sana pada 2018, selepas saya menerima panggilan untuk melakukan ujian di Buriram. 

“Saya menyukai Thailand dan orang di sana, jadi saya harap dapat menggembirakan mereka dengan satu keputusan yang bagus. Saya akan cuba untuk meraih mata sehingga penghujung musim nanti. 

“Secara fizikalnya, saya sudah bersedia, saya berlatih dengan gigih, jadi kita lihat apakah yang mampu dilakukan di sana nanti.”

Pada tahun lalu, Hafizh yang menunggang jentera Yamaha menamatkan perlumbaan di Thailand di tempat ke-12 keseluruhan dengan catatan 40 minit 13.413 saat.

Selepas 14 perlumbaan, Hafizh sudah mengumpul tujuh mata dan berada di tangga ke-24 keseluruhan. 

Mata pertamanya hadir di GP Perancis, Mei lalu dengan meraih dua mata selepas menemui garisan penamat di litar Le Mans di tempat ke-14. 

Pelumba berusia 25 tahun itu menemui penamat ke-15 di GP Belanda (satu mata) sebelum ke-13 (tiga mata) di GP British dan ke-15 (satu mata) di perlumbaan seterusnya di GP San Marino. 

Pusingan di Thailand adalah perlumbaan pertama bagi musim Kejuaraan Motosikal Dunia 2019 di rantau Asia dan selepas itu dijadual ke litar Twin Ring Motegi, Jepun pada 20 Oktober ini.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here