Marc Marquez teruja dengan cabaran di GP Australia

1119

Philip Island satu daripada tempat kegemaran juara MotoGP dunia itu dan Marquez teruja cabaran di GP Australia. Dia juga tidak berhasrat untuk bersenang-lenang pada perlumbaan pada hujung minggu ini.

Penunggang berbakat Sepanyol itu, yang menyamai rekod pelumba Australia, Mick Doohan dalam kelas perdana menerusi kemenangan ke-54 di Jepun hujung minggu lalu, teruja untuk meneruskan musim gemilangnya.



“Ia satu daripada litar kegemaran saya. Saya seronok menunggang di sini, terutama selekoh kiri,” kata Marquez, yang memburu kemenangan ke-11 tahun ini dan kelima berturut-turut di pulau selatan Melbourne.

“Tapi ia litar yang mana ramai terutama penunggang Yamaha boleh mencabar,” katanya.

“Biasanya saingan di sini sengit dan ada cabaran seperti selalu. Sasaran kami sudah tentu cuba untuk menang, namun sebaik saingan bermula, kami akan lihat di mana kami berada dan menilai situasi.”

Marquez teruja cabaran di GP Australia dan dia mempunyai sejarah tersendiri dalam perlumbaan tersebut. Marquez menang di litar menarik itu pada 2015 dan 2017 namun secara dramatik terkeluar daripada persaingan selepas kemalangan menakutkan tahun lalu.

Bermula dari petak utama, dia dilanggar pelumba Yamaha, Johann Zarco pada pusingan keenam ketika mereka menunggang dengan kelajuan 250 kmj.

Ketika dia masih mampu berada di jenteranya, tempat duduknya tercabut dan suspensi rosak, memaksanya keluar daripada persaingan.

Ia bermakna Marquez gagal menamatkan perlumbaan di Australia tiga kali selepas memastikan kejuaraan dunia di Jepun pada 2014, 2016 dan 2018.

Dia meraih kejuaraan dunia kali keenam tahun ini pada perlumbaan terdahulu di Buriram, Thailand dan melengkapkan kejuaraan pengeluar kali ke-25 buat Honda di Motegi.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here