Aston Martin DBX ialah SUV ideal untuk James Bond, tempahan dibuka dari RM798k

1648

Aston Martin telah secara rasminya memperkenalkan SUV pertama mereka semalam. Bertempat di Beijing, China, pengenalan DBX menandakan era baharu jenama sports premium itu yang kini turut menyertai gelombang SUV prestasi di seluruh dunia.

Walaupun bekerjasama dengan Mercedes, ini bukanlah sekadar GLE dengan “kulit” baharu. Sebaliknya, ia menggunakan platform baharu khas untuk DBX.



Casis dan kerangkanya adalah dari aluminium, direka untuk menjadi ringan dan sangat teguh. Selain itu, Aston Martin juga memastikan ia tetap mampu memberi ruang kabin luas untuk semua penumpang, serta mempunyai dinamik yang baik untuk on-road dan off-road.

Rupa DBX ini walaupun sebuah SUV, tetap mempunyai gaya elegan sebuah Aston Martin. Ini termasuklah gril DB di depan, garisan-garisan badan yang menawan, hinggalah pintu but belakang yang mengambil inspirasi Vantage.

Sebagai sebuah jenama sports, aerodinamik juga mempengaruhi rekabentuk DBX ini, jadi ia direka menggunakan ujian CFD atau dinamik bendalir berkomputer.

Lampu DRL depan mempunyai ruang udara berintegrasi yang menyalurkan udara ke gerbang roda, membantu mengurangkan drag (seretan), daya angkat serta menyejukkan brek. Teknik aeroakustik pula digunakan untuk mencapai tahap kesenyapan kabin.

Di dalam pula, ia mendapat sentuhan dari Female Advisory Board, yang membantu memberikan kabin ergonomik. Ia meletakkan posisi kawalan utama kenderaan, konsol tengah dan rekaan papan pemuka supaya mudah untuk pengguna. Female Advisory Board juga memberikan input untuk perincian bahagian luar DBX.

Tempat duduk adalah dari kulit mewah dari rakan kongsi, Bridge of Weir. Siling dan birai bumbung elektrik pula adalah dari bahan Alcantara.

Satu lagi elemen utama rekabentuk kabin ialah rekaan elegan konsol tengah yang membolehkan ia berfungsi sebagai ruang simpanan fleksibel serta elemen rekaan penuh seni.

Selain dari kemewahan dan hasil seni, sudah tentu kabin DBX mendapat teknologi sepatutnya. Di tengah, terdapat skrin 10.25-inci dengan sistem yang menyokong Apple CarPlay. Untuk pemandu pula, terdapat skrin 12.3-inci di depan stereng untuk semua maklumat kenderaan.

Nadi kepada Aston Martin DBX ini ialah enjin 4.0-liter V8 twin-turbo yang terdapat pada DB11 dan Vantage. Ini memberikan DBX output sebanyak 550PS dan 700Nm tork dengan talaan khas.

Transmisi ialah automatik 9-kelajuan, dan kuasa dihantar ke semua roda melalui sistem pacuan semua-roda, differential tengah aktif dan LSD elektronik. Ini membolehkan penghantaran kuasa yang tepat ke mana-mana roda yang memerlukan.

Prestasi pecutan 0 ke 100km/j ialah 4.5 saat, dan kelajuan maksima 291km/j.

Dari segi pengendalian dan kawalan, Aston Martin DBX mendapat suspensi canggih iaitu suspensi udara adaptive triple volume yang boleh melaras kekerasan untuk pemanduan sporti atau selesa.

Ia digabungkan dengan sistem kawalan anti-oleng elektrik 48v dan penyerap hentak elektronik. Sistem ini mempunyai sehingga 1,400Nm daya tahan olengan yang akan memastikan badan kekal terkawal di selekoh berkelajuan tinggi.

Berminat dengan SUV berjiwa James Bond ini? And boleh mula menempahnya di Aston Martin Malaysia dengan harga RM798,000 (tanpa cukai). Untuk maklumat lanjut, hubungi +60 (3) 2163 1196.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here