Pandu uji: Honda HR-V 1.5 Hybrid – Sporti tidak semestinya mencemarkan alam sekitar

2824

Anda pasti pernah terdengar bahawa kenderaan hibrid atau EV (elektrik sepenuhnya) tidak berapa seronok dipandu, terlalu senyap atau mungkin terasa seperti kereta mainan.

Namun sejajar dengan perkembangan teknologi bateri lithium-ion, kenderaan yang mempunyai janaan elektrifikasi (hibrid atau EV atau PHEV) telahpun mempunyai prestasi dan keseronokan memandu seperti kereta biasa.



Ambil contoh Porsche Taycan dan Lotus Evija yang memberikan prestasi menakjubkan, gaya pemanduan kereta sports sebenar tetapi tanpa ‘meminum’ setitis petrol pun.

Apa yang penulis ingin kongsikan di sini ialah kereta hibrid atau elektrik tidak lagi terasa begitu pelik. Contoh yang lebih mudah dan realistik untuk kita lihat hari ini ialah rangkaian Honda Sport Hybrid i-DCD.

Teknologi ini diperkenalkan dua tahun lepas dalam bentuk Jazz dan City, dan tahun ini Honda Malaysia menawarkannya pada HR-V pula. Penulis berpeluang memandu uji HR-V 1.5 Hybrid baru-baru ini dan penulis rasakan ia kenderaan yang sangat menarik untuk dipandu.

Pecutannya cukup mantap dengan transmisi dwi-klac 7-kelajuan ala DSG Volkswagen atau PDK Porsche, siap dengan blip yang sporti semasa downshift. Ya, bukan pakai CVT Earth Dreams macam HR-V biasa korang tu.

Dan pada masa yang sama, bacaan komputer perjalanan tetap mencatatkan 15 hingga 16 km/liter. Itupun ada lenjan sedikit, kalau pandu macam malaikat, penulis yakin HR-V 1.5 Hybrid ini mampu capai 18 hingga 19 km/liter.

Paparan pada kluster instrumen juga agak interaktif untuk dilihat. Anda dapat lihat aliran tenaga dan kuasa, sama ada dari enjin disalur ke tayar, atau dari motor elektrik ke tayar, atau gabungan enjin dan motor elektrik sekaligus ke tayar.

Dan apabila dipandu pada kelajuan laju dan sederhana, apabila anda mengangkat kaki dari pedal minyak, tenaga kinetik dari tayar akan disalurkan semula untuk disimpan di dalam bateri untuk menjana motor elektrik. Jadi, anda tahu bahawa pembaziran tenaga adalah sangat minima.

 Ia sedikit sebanyak membuatkan anda ingin memandu lebih efisyen dan merancang lebih awal segala input pemanduan, menjadikan anda pemandu lebih baik dan cekap.

Tetapi jika diacah, HR-V ini tetap mempunyai 132hp dan 156Nm tork dari enjin. Ditambah dengan motor elektrik, maka jumlah output kesemuanya adalah 152hp dan 190Nm tork.

Aspek lain seperti praktikaliti adalah sama seperti Honda HR-V biasa; ia luas, banyak ruang simpanan dan mudah digunakan setiap hari.

Honda HR-V 1.5 Hybrid dijual pada RM120,800 dan bateri lithium-ion padanya dilindungi dengan jaminan 8 tahun oleh Honda Malaysia.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here